
Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim berkata, prosiding jenayah itu dimulakan berdasarkan keterangan yang berkaitan dengan tuduhan.
“Oleh itu, dakwaan itu adalah tidak berasas,” katanya ketika meminta Mahkamah Tinggi di sini menolak usul Rewcastle Brown untuk memindah dan membatalkan tuduhan itu.
Rewcastle Brown, seorang warga Britain, didakwa secara “in absentia” di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Sept.
Yusaini berkata, pihak pendakwaan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa tuduhan itu adalah “cara pintu belakang untuk membalas dendam” terhadap Rewcastle Brown.
“Tiada sebarang tekanan dikenakan dan prosiding jenayah tidak dijalankan atas arahan pihak istana.
“Prosiding jenayah yang dimulakan adalah berdasarkan keterangan yang relevan dengan tuduhan yang dibacakan terhadap tertuduh,” katanya dalam afidavit yang difailkan minggu lepas, seperti dilihat FMT.
Yusaini berkata pertikaian Rewcastle Brown bahawa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di Terengganu adalah tidak berasas dan tidak disokong oleh keterangan.
Dalam permohonannya yang difailkan awal bulan ini, Rewcastle Brown berkata, tuduhan itu mesti dibatalkan kerana ia dilakukan dengan niat jahat dan menyalahgunakan proses mahkamah serta kuasa pendakwaan.
Peguamnya, Guok Ngek Seong, berkata, pengurusan kes ditetapkan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi pada 7 Jan.
Rewcastle Brown mengarang buku, “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”, yang diterbitkan di Malaysia pada September 2018.
Selepas ia diterbitkan, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.
Baginda turut memfailkan permohonan supaya samannya diputuskan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu melalui isu undang-undang dan baginda dikecualikan daripada memberi keterangan.
Pada 13 Dis 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu.
Bagaimanapun, pada 28 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan defendan dan memutuskan bahawa prinsip “bane and antidote” adalah unsur penting bagi pembelaan dalam saman fitnah itu.
Sultanah itu dijangka memberi keterangan apabila perbicaraan bermula tahun depan.
Rewcastle Brown berkata dalam afidavitnya, tuduhan dirangka terhadapnya oleh pihak pendakwaan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pembantu sultanah.
Beliau berkata, perbicaraan yang adil dan saksama tidak boleh dijalankan di Kuala Terengganu kerana wujud potensi pengaruh tidak wajar akan dikenakan oleh pelbagai pihak terhadap majistret bagi memastikan sabitan.
“Satu-satunya cara agar tiada salah laksana keadilan berlaku adalah dengan memindah dan membicarakan tuduhan di Kuala Lumpur,” katanya.