
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir pada 12.30 tengah malam kelmarin.
“Mereka (suami isteri) itu adalah rakan (Long Tiger). Kita masih lagi melancarkan operasi untuk mengesan Long Tiger dan percaya dia masih berada di sekitar kawasan Bukit Gambir dan sebagainya.
“Saya menyeru kepada masyarakat dan orang awam, jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia sedang diburu oleh pihak polis.
“Kalau kita dapat maklumat dan ada bukti bahawa ada orang awam cuba melindungi Long Tiger, kita akan buat tindakan yang sama,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khas Bersepadu (Bas Ekspres/Persiaran) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Hentian Simpang Renggam (Utara) Lebuhraya Utara Selatan di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, pihaknya menyiasat segala aspek termasuk elemen rasuah yang mungkin berlaku sehingga Long Tiger boleh lolos dari tahanan polis sebelum ini.
“Kita siasat segala aspek sama ada dia bersubahat, bersengkongkol atau dirasuah, itu semua kita siasat bukan dari segi kecuaian sahaja,” katanya.