PRN: Kertas undi lambat tiba, tak sempat untuk pengundi luar negara

PRN: Kertas undi lambat tiba, tak sempat untuk pengundi luar negara

Global Bersih mendakwa kertas undi bagi PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini lewat sampai kepada pengundi luar negara, seterusnya tidak sempat dihantar pulang untuk pengiraan.

Global Bersih mendakwa tempoh yang tidak mencukupi untuk memulangkan kertas undi pengundi luar negara menyebabkan ramai yang memilih tidak mengundi.
PETALING JAYA:
Kertas undi bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini lewat sampai kepada pengundi luar negara menyebabkan ia tidak sempat dihantar pulang untuk pengiraan, kata kumpulan pemantau pilihan raya Global Bersih.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agungnya Nirmala Devi Windgaetter berkata perkara itu berlaku walaupun cadangan telah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pembaharuan proses pemilihan dari luar negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, yang melihat golongan itu berdepan pelbagai kesukaran ketika membuang undi.

“Rakyat Sarawak di Korea Selatan, Australia, Singapura dan Jerman menerima kertas undi terlalu lambat sehingga tidak sempat dipulangkan sebelum hari mengundi untuk PRN Sarawak, sekalipun perkhidmatan kurier mahal digunakan.

“Ada pengundi hanya menerima kertas undi pada hari pemilihan atau selepas itu seterusnya mustahil untuk mengundi dalam waktu ditetapkan.

“Pengundi Melaka yang tinggal di luar negara turut berdepan masalah sama. Lebih menyukarkan apabila mereka susah mencari rakyat Malaysia yang tinggal berhampiran untuk menjadi saksi proses mengundi.”

Nirmala berkata, tempoh suntuk untuk memulangkan kertas undi menyebabkan ramai rakyat Malaysia di luar negara terhalang membuat pemilihan ketika PRU lalu.

“SPR maklum mengenai masalah ini sejak PRU14. Ini perlu diselesaikan segera untuk pilihan raya akan datang, khususnya sebelum PRU15.

“Global Bersih menggesa SPR bekerjasama dengan rakyat Malaysia di luar negara untuk menangani isu ini segera, selain isu lain yang telah kami bangkitkan berkaitan pembaharuan bagi pengundi di luar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.