
Empat suspek yang dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran mereka) adalah rakyat Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta warga Ukrain Leonid Kharchenko.
Mereka dituduh melancarkan peluru berpandu BUK yang menembak jatuh pesawat malang itu di timur Ukraine pada 2014, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
“Kami menggesa supaya suspek Girkin, Dubinsky, Pulatov dan Kharchenko, masing-masing didapati bertanggungjawab kerana menumpaskan pesawat yang mengakibatkan kematian 298 orang ini, dihukum penjara seumur hidup” kata pendakwa Manon Ridderbeks kepada mahkamah pada Rabu.
Empat suspek itu enggan menghadiri prosiding berkenaan selama perbicaraan berlangsung.
Pendakwa pada Isnin menggulung hujah mereka dengan mengatakan empat suspek itu memainkan peranan penting dalam memperoleh sistem BUK itu, berkemungkinan besar bertujuan membedil jet pejuang Ukraine.
Penyiasat antarabangsa berkata, peluru berpandu BUK itu dibawa dari pangkalan tentera Rusia berkemungkinan untuk digunakan terhadap pemberontak Ukraine.
Keputusan kes di mahkamah yang dikawal ketat itu, terletak berhampiran Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam – lokasi MH17 berlepas untuk ke Kuala Lumpur pada hari kejadian – dijangka hanya didapati seawalnya pada lewat tahun depan.