Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru kira-kira jam 3.20 petang, Rabu.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.45 malam akibat tekanan darah rendah di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru kira-kira jam 3.20 petang, Rabu.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Larkin kira-kira jam 2.23 petang selepas bertolak dari rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur.

Sinar Harian melaporkan, sebaik selesai penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Ar Raudhah untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tapak Perkuburan Islam Ar Raudhah di Mount Austin untuk dikebumikan.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Johor Hasni Mohammad; Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Jimmy Puah Wee Tse dan Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Johor Dzulkefly Ahmad.

Osman dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.45 malam akibat tekanan darah rendah di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada 13 Oktober media melaporkan Allahyarham telah dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) kerana diserang strok ringan sebelum dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana tahap kesihatannya merosot.

Allahyarham Osman pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bersama Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi kerusi DUN Kempas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Beliau menjawat jawatan itu bagi tempoh 12 Mei hingga 8 April 2019 sebelum meletak jawatan dan diambil alih oleh ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.