(VIDEO) Berbumbung ‘gurdwara’ Sikh, penganut pelbagai agama zahirkan kesamaan dalam masa krisis

(VIDEO) Berbumbung ‘gurdwara’ Sikh, penganut pelbagai agama zahirkan kesamaan dalam masa krisis

Warga Malaysia bersatu tanpa mengira perbezaan kaum dan agama bersama menggembleng tenaga menjalankan pelbagai usaha membantu mangsa banjir.

Bekas Menteri agama, Zulkifli Mohamad ke Gurdwara Sahib Petaling Jaya untuk membantu memasak. (Gambar Facebook Zulkifli Mohamad)
PETALING JAYA:
Di bawah bumbung rumah ibadat Sikh di sini, warga Lembah Klang pelbagai agama, termasuk Muslim, bergotong-royong menyediakan makanan untuk mangsa banjir, sekali gus mengenepikan sentimen “halal ke tidak” yang cuba dimainkan sesetengah pihak di media sosial.

Antara yang turun ke Gurdwara Sahib Petaling Jaya untuk membantu memasak, ialah bekas Menteri agama, Zulkifli Mohamad untuk menghantar mesej jelas kepada pengkritik di media sosial.

“Tiada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim yang bukan ahli kitab, selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka. Hal ini terpakai dalam isu agihan bantuan atau rumah terbuka,” kata beliau dalam ciapan Twitter semalam.

Lawatan FMT ke Gurdawara Sahib Petaling Jaya mendapati orang Melayu bersama Cina dan India berganding bahu dengan penganut Sikh dalam menyediakan ribuan pek makanan berupa sayuran (vegetarian) sepenuhnya untuk mangsa banjir yang terkandas di Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Umat Islam bersama penganut agama lain bekerjasama menyediakan pek makanan sayuran untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Lembah Klang.

Penampilan penganut pelbagai agama memotong sayur-sayuran, membantu memasak dan membungkus makanan untuk dihantar kepada mangsa menzahirkan keakraban antara pelbagai kaum ketika krisis.

Konsep Keluarga Malaysia diserlahkan oleh rakyat marhaen – tanpa sebarang majlis dan “backdrop” diatur oleh menteri mahupun pihak kerajaan atau wakil rakyat.


Bagi Suhaimi Saad, 37, kehadiran beliau di rumah ibadat Sikh untuk membantu “dalam apa saja”, termasuk memunggah bantuan untuk dihantar kepada mangsa memberi rasa puas hati.

“Saya seronok di sini bercampur dengan komuniti Sikh di sini, walaupun ini adalah Gurdwara Sahib yang mana majoritinya penganut Sikh tetapi mereka menerima saya sebagai sebahagian daripada mereka,” kata Suhami.

Lim Ze Min, 23, yang turut membantu dalam penyediaan makanan bantuan mangsa menyeru belia melakukan apa saja untuk membantu ribuan mangsa banjir yang terkandas dan memerlukan bantuan.

Sukarelawan berbilang bangsa menyediakan bahan masakan di Gurdwara Sahib Petaling Jaya.

“Tidak kata kepada sesiapa, tetapi saya tahu ada kekangan di mana ada ibu bapa yang takut anak mereka dijangkiti Covid-19, atau mereka tiada keupayaan dari segi fizikal, mental dan masa, berkongsi berkenaan misi bantuan itu pun sudah memadai,” kata Lim.

Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Awtar Singh berkata, projek bank makanan yang digerakkan mendapat sokongan “luar biasa” masyarakat pelbagai kaum.

Awtar Singh.

“Kita amat berbangga masyarakat Malaysia tidak kira bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India semua di sini untuk menolong kami, jadi ini macam semangat keluarga Malaysia.

“Sokongan adalah di luar dugaan. Ia terus bertambah dan kami jangkakan lebih ramai orang yang akan menghantar barangan keperluan untuk membantu mangsa,” katanya.

Menurutnya, projek bank makanan digerakkan pada 18 Dis lalu sebagai tindak balas segera susulan banjir di Lembah Klang, terutama di Shah Alam semakin teruk.

Rajvinder Singh, 37, antara “orang kuat” dalam proses menyediakan makanan berkata, sukarelawan mula memasak seawal 4 pagi dan ia diteruskan sehingga 9 malam.

Ruang solat turut disediakan di rumah ibadat Sikh berkenaan. (Gambar Sikhinside)

Ujarnya, setakat 6 petang semalam, sukarelawan telah menghantar 15,780 paket makanan kepada semua tempat yang terkesan banjir.

“Kita tidak memilih tempat, asalkan kita dapat permintaan untuk makanan, kita akan hantar,” katanya.

Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas sehingga kini mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014, 20 daripadanya di Selangor, manakala tujuh lagi di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.