
Alwi, 62, berkata pelanjutan yang dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu terlalu awal sedangkan tempoh tamat kontrak itu masih panjang.
“Bagaimanapun, berdasarkan laporan syarikat yang saya terima, saya berpuas hati dengan prestasi syarikat UKSB,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada hari kesembilan perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem VLN.
Wan Shaharuddin: Pernah berlaku sebelum ini, pelanjutan kontrak dibuat awal?
Alwi: Seingat saya tidak ada.
Ketika membacakan penyataan saksinya, Alwi, saksi pendakwaan keenam berkata pihaknya akur dengan arahan Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk melanjutkan kontrak tersebut tiga tahun lebih awal, dari kontrak tamat iaitu pada 2019.
“Berdasarkan perkara 2.2.1 perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN yang dimeterai sebelum ini, syarikat boleh memohon pelanjutan kontrak tidak kurang dari enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.
“Secara praktikal ia nampak tidak sesuai untuk dilanjutkan kontrak kerana tempoh tamatnya masih jauh,” kata Alwi yang kini seorang pesara.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta (RM41.84 juta) daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.