Rakyat Malaysia dibicara di Guantanamo gagal tangguh pendengaran ketika Ramadan

Rakyat Malaysia dibicara di Guantanamo gagal tangguh pendengaran ketika Ramadan

Mohammed Farik Amin memfailkan permohonan yang meminta supaya sebarang pendengaran kes tidak dilakukan ketika bulan Ramadan tahun depan.

Rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin (kiri) dan Mohammed Nazir Lep (tengah) bersama rakyat Indonesia Hambali (kanan) berdepan tuduhan melakukan keganasan berhubung kes pengeboman di Bali pada 2002 dan Jakarta pada 2003.
PETALING JAYA:
Permohonan seorang rakyat Malaysia yang dibicarakan di Teluk Guantanamo atas tuduhan melakukan keganasan untuk meminta sebarang pendengaran kes tidak dilakukan ketika bulan Ramadan tahun depan ditolak oleh mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS).

Mohammed Farik Amin memfailkan permohonan itu bulan lalu dengan alasan supaya pertimbangan dibuat berdasarkan agama dan kesesuaian dengan alasan untuk berpuasa dan mahu beribadat.

Katanya, dia tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya ketika pendengaran kes di mahkamah.

Membantah permohonan itu, kerajaan AS berkata, permintaan berkenaan tidak konsisten dengan kepentingan semua pihak dalam mencapai penyelesaian segera kes terbabit selain ketersediaan kamar yang terhad tahun depan.

“Mohammed Farik gagal menunjukkan bahawa pendengaran yang dilakukan ketika Ramadan akan melanggar haknya atau menimbulkan prejudis terhadap kesnya,” katanya.

Berdasarkan keputusan yang dimuat naik di laman sesawang pejabat Suruhanjaya Ketenteraan AS, hakim Hayes C Larsen berkata, pihaknya mendapati asas terhadap usul itu tidak matang untuk diputuskan kerana tiada prosiding mahkamah yang dijadualkan ketika Ramadan 2022 ketika ini selain ketidakpastian berhubung perkara yang mungkin memerlukan pendengaran.

Ramadan akan bermula antara 2 April dan 2 Mei.

“Sekiranya suruhanjaya mempertimbangkan penjadualan pendengaran ketika Ramadan, semua pihak akan dimaklumkan sebelum itu dan diberi peluang untuk memberi pandangan terhadap keputusan itu,” katanya.

Mohammed Farik, bersama seorang lagi rakyat Malaysia Mohammed Nazir Lep dan rakyat Indonesia Encep Nurjaman, lebih dikenali sebagai Hambali, berdepan lapan tuduhan melakukan keganasan.

Ia termasuk tujuh tuduhan berkaitan dua serangan yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Lapan tuduhan tersebut adalah konspirasi, pembunuhan, percubaan pembunuhan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang serius, keganasan, menyerang orang awam, menyerang benda awam dan pemusnahan harta benda.

Ketiga-tiga mereka enggan membuat pengakuan ketika dihadapkan ke mahkamah pada 30 hingga 31 Ogos dengan alasan ketidakcekapan penterjemah yang mengakibatkan terjemahan tidak tepat dan telah memohon untuk hadir semula di mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan mereka dalam keputusan bulan lalu. Tiada tarikh baru perbicaraan ditetapkan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.