Nahas MH17: Suspek ‘bertanggungjawab sepenuhnya’, kata pendakwaan

Nahas MH17: Suspek ‘bertanggungjawab sepenuhnya’, kata pendakwaan

Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah membantu membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan untuk melepaskan roket terhadap pesawat malang itu.

Empat suspek itu dikatakan membolehkan peluru berpandu Buk buatan Russia itu dibawa ke kawasan berkenaan sebelum MH17 ditembak jatuh. (Gambar Reuters)
AMSTERDAM:
Pendakwa Belanda berkata tiga lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine “bertanggungjawab sepenuhnya” dalam nahas penembakan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di timur Ukraine pada 2014, dan wajar didapati bersalah kerana membunuh.

Empat lelaki yang sehingga kini tidak menghadiri mahkamah, berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah membantu membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan pemberontak disokong Rusia untuk melepaskan roket terhadap pesawat penumpang yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.

“Empat suspek itu bersama-sama bertanggungjawab sepenuhnya dalam penembakan penerbangan MH17, yang mengakibatkan kematian 198 penumpang dan anak kapal,” hujah pendakwa, Thijs Berger.

Pada hari kedua penghujahan, pendakwaan berkata bukti menunjukkan suspek – warga Rusia, Oleg Pulatov, Sergey Dubinsky dan Igor Girkin serta Leonid Kharchenko dari Ukraine – berpengaruh di kawasan di mana MH17 ditembak.

Mereka dikenal pasti menerusi Pasukan Siasatan Bersama yang menyiasat nahas MH17, sebelum identiti didedahkan pendakwa Belanda.

Menurut pendakwa, empat lelaki itu yang terkait dengan kumpulan pemberontak pro-Rusia, menyebabkan nahas MH17 berlaku apabila terlibat membawa masuk peluru berpandu Buk buatan Rusia dibawa ke kawasan itu.

Hukuman dijangka diputuskan pada Rabu, pada akhir perbicaraan selama 20 bulan itu.

Semua tertuduh tidak hadir di mahkamah. Seorang suspek, Pulatov menghantar peguam bela untuk mewakilinya namun yang lain tidak bekerjasama dan dibicarakan secara “in absentia” (tanpa kehadiran mereka).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.