
Beliau berkata, ini kerana agensi terbabit tidak mempunyai rekod PPS yang tidak diwartakan, sekaligus menyukarkan proses pengagihan keperluan asas dan makanan.
“Apabila sebuah PPS tidak diwartakan dan tidak berada dalam senarai pejabat daerah, maka PPS itu tidak akan mendapat apa-apa sumbangan termasuk makanan daripada kerajaan.
“Apabila sudah senarai, maka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh hantar makanan. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi 11 agensinya juga sudah diminta menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang pelbagai barang seperti tuala, kipas dan sabun kepada mangsa banjir di PPS,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Noh berkata, banjir teruk di Lembah Klang, baru-baru ini, adalah kejadian yang amat mengejutkan dan wajar dijadikan pengajaran kepada pihak berkuasa untuk membuat persiapan sewajarnya jika ia berulang.
“Saya sendiri menghubungi Ketua Pengarah Bomba (Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid) bertanyakan mengenai keadaan banjir di Lebuhraya Persekutuan.
“Kalau banjir pada musim tengkujuh di Pantai Timur tidak mengejutkan sangat, ini berlaku di Lembah Klang. Ia menjadi amaran dan pengajaran kepada pihak berkuasa untuk lebih bersedia selepas ini,” katanya.