
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kerajaan menunjukkan betapa ia tidak mampu memenuhi keperluan sebenar mangsa yang terkesan akibat banjir.
“Seperti biasa, tiada kesepakatan dalam menangani isu kebangsaan. Ini dapat dilihat dalam ketakupayaan dan kegagalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memahami betapa seriusnya bencana kebangsaan ini, apabila menekankan isu kos ketika nyawa dan mata pencarian dalam keadaan risiko.
“Kerajaan nampaknya hanya memahami pemberian bantuan berbentuk wang tunai, sedangkan orang ramai sudah kehilangan pakaian dan tidak mampu membeli barangan, manakala jalan dan kenderaan juga rosak teruk.”
Kerajaan dikritik kerana tindak balas lemah dan lambat susulan hujan lebat sepanjang hujung minggu yang mencetuskan banjir di pelbagai kawasan di negara ini. Walaupun hujan berhenti sejak lewat Sabtu, ramai orang masih terperangkap dalam kediaman mereka dan menantikan bantuan.
“Jelas ini bukan kerajaan yang boleh diharapkan sebagai ketua ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam kenyataan.
“Jelas ia tidak mampu menangani krisis secara cekap. Kerajaan ini sendiri terbukti menjadi pencetus krisis walaupun dalam tempoh memerintah yang singkat.”
Beliau turut menyelar tindakan membelanjakan dana awam untuk “pelancaran yang tidak produktif dan usaha menarik publisiti”. Kata-katanya itu dipercayai merujuk kepada pelancaran usaha bantuan banjir oleh Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, semua kementerian sepatutnya menggerakkan agensi mereka untuk merancang dan menjalankan kerja pemulihan serta pembaikan, selain membantu dalam usaha menyelamat yang masih berterusan.
Bekas Ketua Wanita Umno itu antara suara yang lantang mengkritik kelemahan dalam menangani bencana berkenaan.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji tegas mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad dan NADMA yang berada dalam seliaannya, malah menyuarakan rasa terkejut dengan reaksi “cincai” serta kelewatan ketara pihak berkuasa terhadap usaha bantuan banjir.
“Jika NADMA mendakwa tidak ditubuhkan untuk menguruskan banjir, maka bubarkan NADMA dan pecat menteri yang dibayar gaji tinggi itu. Ini bukan masanya untuk mengalihkan tanggungjawab kepada pihak lain,” katanya kepada FMT.
Latiff sebelum ini dipetik berkata, NADMA tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana alam seperti banjir di peringkat negeri, sebaliknya lebih bertanggungjawab menguruskan pampasan kepada mangsa, setelah menerima maklumat sewajarnya daripada pihak berkuasa negeri yang relevan.