122 cerun berisiko tinggi runtuh ketika tengkujuh

122 cerun berisiko tinggi runtuh ketika tengkujuh

Kawasan paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

Jabatan Mineral dan Geosains akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia untuk memasang sistem amaran awal yang dilengkapi siren di cerun dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi mengalami runtuhan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejumlah 122 daripada 220 cerun di seluruh negara dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi mengalami runtuhan ketika musim tengkujuh, kata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi berkata semua cerun itu sedang dipantau JMG dan diberi keutamaan untuk pemasangan sistem amaran awal yang dilengkapi siren supaya penduduk dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.

“Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

“Sungai Penchala paling teruk seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh dan kemusnahan,” katanya dipetik Berita Harian selepas menyertai sebuah program di Kuala Muda, Kedah.

Hisamuddin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memasang sistem amaran awal itu.

“Saya difahamkan UTM mendapat teknologi dan peralatan dari Jepun untuk tujuan itu dan buat masa sekarang kita sedang tunggu masa yang sesuai.

“Apabila mendapat persetujuan UTM, kita akan buat rundingan untuk tempatkan sistem amaran awal ini di kawasan yang dipersetujui bersama,” katanya.

Semalam, media melaporkan empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera susulan tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 1.22 pagi.

Mengenai kejadian kepala air di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu, Hisamuddin berkata, pihaknya belum dapat menyiasat kejadian tanah runtuh itu.

“Ini kerana belum ada jalan untuk memasuki ke kawasan punca berlakunya kejadian itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.