PRN Sarawak: GPS menang undian, tetapi mampukah ia tawan hati rakyat?

PRN Sarawak: GPS menang undian, tetapi mampukah ia tawan hati rakyat?

Pengundi hari ini mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap parti dan ahli politik.

GPS yang dipimpin oleh Abang Johari Openg memenangi lebih banyak kerusi berbanding Adenan Satem tetapi beliau tidak boleh berpuas hati, kata penganalisis.
KUCHING:
Kemunculan pertama Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai gabungan politik membuahkan kejayaan yang memberangsangkan, baik untuk parti itu mahupun Pengerusinya, Abang Johari Openg.

Ini sudah tentu akan menjadi pendorong semangat yang besar bagi Abang Johari untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding Adenan Satem, bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Ketua Menteri, yang warisannya masih bertapak di Sarawak.

Abang Johari memimpin GPS melalui beberapa tempoh sukar sejak pilihan raya umum 2018 (PRU14) yang menamatkan pemerintahan enam dekad BN. Beliau turut mencapai beberapa kemenangan besar tersendiri, terutamanya dalam isu cukai jualan negeri (SST).

Walaupun penganalisis dan pemerhati akan meneliti keputusan penuh pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sepanjang minggu ini, perlu diingat bahawa ini bukan pilihan raya biasa.

Pada Sabtu, hanya 60% daripada 1.2 juta pengundi Sarawak membuang undi. Sekatan berkempen disebabkan peraturan Covid-19 juga menyukarkan calon pembangkang.

Terdapat juga demografi utama – pengundi berusia 18 hingga 20 tahun – yang tidak dapat menyertai pilihan raya ini kerana Undi18 masih belum berkuat kuasa.

Namun mungkin faktor yang paling penting bagi ramai pengundi hanyalah kekurangan alternatif yang lebih baik.

Sebanyak sembilan parti pembangkang mengambil bahagian dalam PRN ini dengan hanya DAP, PKR, dan Amanah bergabung. Sekalipun begitu, mereka tidak dapat menyusun manifesto bersepadu atau bertanding bawah satu panji.

Pemerintahan PH selama 22 bulan yang dicemari dengan janji-janji yang tidak ditepati tidak membantu matlamatnya.

Memandangkan sentimen parokial masih kuat di negeri ini, tiada parti lain selain GPS boleh mendakwa dirinya pejuang kepentingan Sarawak yang merupakan faktor utama dalam PRN kali ini.

Berdasarkan latar belakang ini, terlalu awal untuk menganggap bahawa GPS, seperti BN di Melaka, diterima oleh pengundi.

Tiada alasan kukuh untuk pengundi menyokong parti lain. Bagi segelintir rakyat yang meramalkan kemenangan GPS, mungkin tiada sebab sebenar untuk mereka keluar mengundi.

Kedua-dua BN dan GPS berkata, mereka tidak mampu untuk hanya berpuas hati dan ini adalah langkah bijak jika mereka ingin memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), iaitu satu medan yang berbeza sama sekali.

Lagipun, kira-kira 5.8 juta pengundi muda baharu akan muncul sebaik sahaja Undi18 dilaksanakan dan wabak Covid-19 mungkin tidak lagi menjadi faktor.

Apa yang dapat kita pelajari sejak tiga tahun lepas adalah pengundi Malaysia, terutamanya golongan muda, tiada masalah dengan perubahan dan bersedia untuk memberi pengajaran kepada parti-parti politik.

Pengundi hari ini mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap parti dan ahli politik.

Mereka mahukan keputusan, mereka mahukan keadilan, mereka mahukan konsistensi dan akauntabiliti. Mereka tidak mahu keadaan seperti biasa. Ia bukan lagi hanya mengenai bendera mahupun calon.

Setakat ini, BN menerima saranan mengenai tuntutan reformasi, bermula dengan ikrarnya untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti dan memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka.

GPS masih belum komited terhadap perkara ini.

Gabungan itu mungkin menang dengan meyakinkan dalam PRN kali ini, tetapi jika ia tidak mahu menegakkan reformasi, ia mungkin akan menerima padahnya pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.