
Ramai juga dilaporkan tinggal sehelai sepinggang selepas kawasan mereka dilanda banjir kilat baru-baru ini.
Menambah kontroversi kepada kemelut penduduk ialah Ahli Parlimen mereka, Hasanuddin Mohd Yunus, masih di luar negara untuk apa yang menurutnya lawatan kerja.
Antara kawasan Hulu Langat yang terjejas teruk adalah Kampung Batu 25 Sungai Lui, Kampung Batu 16, Kampung Batu 17, Kampung Batu 18, Kampung Sungai Serai, dan Taman Sri Nanding.
FMT menerima gambar daripada penduduk menunjukkan kemusnahan yang begitu teruk.
Setiap gambar memaparkan rumah musnah, dan kenderaan tenggelam atau terperangkap bawah batang pokok besar.

Dalam pada itu, Hasanuddin mengesahkan di Facebooknya, beliau masih di luar negara namun berusaha untuk pulang.
“Saya sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke tanah air,” katanya di Facebook.
Menurut laporan, Hasanuddin memenuhi misi selaku ahli Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia di Pakistan, Iran, dan Turki atas jemputan Parlimen negara-negara itu.
Terdahulu, gambar beliau mengibarkan bendera hijau, kuning, dan merah sebuah pertubuhan tempatan di pergunungan Iran, mengundang kritikan warganet.