
Beliau ialah editor sukan yang dihormati di akhbar The Star dan rakan sebaya mengenali beliau sebagai salah seorang editor sukan paling tegas dan prolifik pada zamannya.
Beliau juga merupakan editor dan penerbit All Sports, salah satu majalah sukan paling popular ketika itu. Piala Dunia tidak lengkap tanpa edisi khasnya, majalah berkilat yang disertakan dengan maklumat mendalam tentang pasukan selain gambar yang menarik perhatian.
Malangnya, masa mencemburui Selva yang kini berusia 75 tahun. Beliau kini bertarung dengan penyakit Parkinson dan sukar untuk bertutur. Dia juga menghidap diabetes dan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi.
Masa lalu beliau adalah sesuatu yang sukar diingatinya. Ditanya tentang masa silamnya, beliau mengenangkan ketika bertemu pemain terkenal Manchester United dan wira England yang memenangi Piala Dunia 1966 Sir Bobby Charlton.
Kemudian, kata-katanya terhenti dan dia merenung kosong ke bawah. Gabungan ubat-ubatan yang perlu diambil oleh Selva setiap hari membawa kepada kesan seperti itu.
Baru-baru ini, kisah beliau menjadi tajuk berita: Selva menjadi bualan di media sosial apabila beliau pengsan di Taman Tun Dr Ismail, tetapi ditemui oleh Jezemine Lim, isteri kepada pelawak terkenal Malaysia Harith Iskander.
Beliau telah pergi ke bank untuk mengeluarkan wang tetapi tidak dapat mengingati kejadian bagaimana beliau rebah selain telefonnya yang gagal ditemui.

“Seluar saya sangat longgar, telefon saya mungkin terjatuh,” katanya, cuba menenangkan keadaan.
Tetapi ia bukan satu kisah jenaka. Beliau telah lupa dan tidak mengingati langsung di mana dirinya tinggal. Harith dan Jezamine cuba menghantar beliau ke alamat pada kad pengenalannya tetapi didapati orang lain yang menetap di alamat berkenaan.
Tidak lama kemudian, kediaman beliau dikenal pasti selepas polis bertanyakan kepada jiran-jiran di kediamannya sebelum ini.
Selva menceritakan kisah silamnya tetapi dia tidak dapat mengingati banyak perkara, kecuali pertemuannya dengan Sir Bobby Charlton.
Rumah Selva adalah sebuah apartmen kecil tiga bilik tidur yang disewa di Bandar Utama dan sekali pandang, seseorang akan menganggap beliau mempunyai keluarga besar, berdasarkan banyak gambar yang diletakkan di dinding kediaman itu.
Terdapat gambar isteri dari Filipina, anak-anaknya dan cucu hasil perkahwinannya sebelum ini. Namun pada hakikatnya, beliau tidak mempunyai sesiapa.
“Isteri saya meninggal dunia empat tahun yang lalu dan begitu juga dengan adik-beradik saya. Anak dan cucu saya berada di Filipina, tiada sesiapa di sini,” katanya.
Namun begitu, beliau tidak keseorangan di rumah itu. Beliau tinggal bersama pasangan Indonesia Awang dan isterinya dua tahun lalu, sehingga dia pulang ke Indonesia dengan anak mereka yang baru lahir.
Perabotnya lusuh, ada kertas dan bungkusan ubat berselerak di atas meja makan. Majalah All Sports boleh dilihat dilonggok di satu ruangan. Peti ais kosong daripada sebarang makanan dan paket biskut kelihatan seperti makanan rujinya, yang turut menjelaskan keadaannya yang lemah.
Walaupun Selva telah melakukan begitu banyak untuk sukan dengan penulisannya, beliau mempunyai sedikit pendapatan dan hampir tidak mempunyai wang simpanan.
Gambar mendiang isteri dan ahli keluarga Selva memberi gambaran bahawa beliau mempunyai keluarga yang besar, walaupun realitinya beliau tinggal bersendirian.
Bil utiliti dan bayaran sewa kediamannya sudah lama tertunggak, tetapi beliau telah dapat membuat beberapa pembayaran dengan apa sahaja wang yang dia ada dalam akaunnya selain bantuan rakan-rakannya.

Beliau mengeluarkan sebahagian besar wang pada hari dia pengsan untuk membayar bil.
“Sebahagian besarnya saya berikan kepada Awang untuk dihantar kepada keluarganya di Indonesia. Jika saya mati, saya tidak mempunyai sesiapa dalam hidup saya. Jadi, saya mahu berikan apa sahaja yang ada kepada Awang dan keluarganya yang telah membantu saya di rumah,” katanya kepada FMT.
Walaupun kesihatannya lemah dan kekurangan pendapatan, Selva masih mempunyai semangat membantu. Harith dan Jezemin juga kini bersedia menghulurkan bantuan kepada Selva untuk meringankan bebannya supaya dia dapat hidup dengan lebih selesa.
Selva yang ditelan usia dan lemah tidak lama lagi boleh menjadi RD Selva yang dibanggakan sekali lagi.