Berpanas dalam kostum maskot, anak Bau cekal cari rezeki

Berpanas dalam kostum maskot, anak Bau cekal cari rezeki

Selain bekerja tanpa rehat menjadi maskot, lelaki berusia 26 tahun itu turut melakukan pelbagai kerja rencam lain untuk menampung kehidupan.

Mahmud (bukan nama sebenar) bergambar bersama seorang lagi individu yang memakai kostum maskot di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
KUCHING:
Ketika pelancong bersiar-siar di sepanjang Kuching Waterfront hatta dalam cuaca panas terik, termasuk mereka yang mencari tempat berteduh dan menikmati air sejuk yang menyegarkan, sepasang maskot beruang menarik perhatian kanak-kanak di situ.

Diiringi muzik yang kuat dan ceria, kanak-kanak bermesra dan bergambar dengan dua ekor maskot beruang itu, sambil ibu bapa mereka memasukkan beberapa ringgit ke dalam sebuah kotak yang diletakkan atas pembesar suara.

Usai bergambar, mereka sempat melambai kepada beruang yang sentiasa tersenyum itu, sambil diperhatikan ibu bapa mereka, berasa puas hati dengan kegirangan yang dikongsi bersama pada hari yang panas terik di bandar raya itu.

Namun bagi insan di sebalik maskot itu, sudah menjadi lumrah bagi mereka untuk menahan panas dan dibasahi peluh, bekerja di bawah panas terik matahari demi sesuap nasi.

Mahmud (bukan nama sebenar) mula mencari rezeki dengan memakai kostum maskot itu sejak lima tahun lepas, bekerja dari sekitar 5 petang hingga lewat tengah malam, dengan pendapatan lebih RM100 pada hari yang menguntungkan.

Maskot beruang yang mencari rezeki di Kuching Waterfront berinteraksi dengan seorang kanak-kanak yang didukung bapanya.

Ada yang silap beranggapan ini adalah cara “malas” untuk mencari rezeki, tetapi hanya segelintir yang faham akan pengorbanan dan usaha yang dicurahkan lelaki berusia 26 tahun itu untuk menampung kehidupannya.

Mahmud, yang tidak lagi berhubung dengan keluarganya memberitahu FMT bahawa beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2009, ketika berusia 14 tahun, untuk bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah restoran. Beliau terbang ke Semenanjung bersama sekumpulan rakan selepas mereka semua ditawarkan pekerjaan itu.

Namun, dengan kos sewa mencecah sehingga RM700 sebulan ketika pendapatannya hanya RM1,200, beliau memilih untuk berteduh sementara di bawah jambatan berhampiran pasar Sungai Besi, sambil menceburkan diri sebagai penghibur maskot untuk meraih pendapatan sampingan.

“Saya tak tahu bagaimana saya dapat hidup dengan RM1,200 sebulan, apabila sewa sahaja sudah begitu mahal. Makanan pun tidak tertampung. Jadi sepanjang empat tahun saya bekerja di KL, saya tinggal di bawah jambatan.

“Selepas empat tahun hidup begitu, saya terpaksa pulang ke Kuching. Kedai (tempat saya bekerja) tak tutup, tetapi saya tak sanggup lagi hidup begitu,” kata lelaki yang berasal dari Bau, Kuching, itu.

Setelah pulang ke negeri kelahirannya, beliau terpaksa berdikari kerana ibunya telah meninggal dunia, manakala ayahnya sudah lama meninggalkan keluarga. Beliau juga tidak lagi berhubung dengan dua adik-beradiknya.

Bermula sekitar 5 petang, Mahmud bekerja hingga tengah malam, tanpa rehat mahupun makan.

Mahmud, yang buta huruf, kembali mencari rezeki di Sarawak menggunakan pengalaman memasak dimilikinya. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memakai kostum maskot untuk menjadi penghibur jalanan sebagai pendapatan tambahan.

Namun apabila keadaan seolah-olah menjadi semakin baik, Covid-19 pula melanda dengan sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Kekangan itu sekali lagi menguji Mahmud apabila beliau hilang pekerjaannya sebagai tukang masak berikutan restoran terpaksa ditutup.

Dengan simpanannya yang sudah begitu sedikit, beliau tiada pilihan selain menjual sayur-sayuran dari rumah ke rumah, hanya untuk terus bertahan.

“Saya hanya mencari pucuk paku yang tumbuh dengan banyak di sekitar Kuching dan menjualnya kepada orang ramai. Saya tak dapat banyak (keuntungan), kadang-kadang hanya RM10 sehari. Ini pastinya tidak cukup untuk perbelanjaan harian saya,” katanya.

Untuk bertahan sepanjang sekatan wabak Covid-19, beliau terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan rencam seperti bekerja di tapak pembinaan, menjadi tukang paip, membersihkan bilik hotel dan mencuci kereta.

Mahmud lega apabila sekatan bagi sektor pelancongan dimansuhkan; beliau akhirnya dapat kembali memakai kostum maskot untuk meraih pendapatan.

Buat masa ini, kegiatan memakai kostum maskot menjadi sumber pendapatan utama Mahmud dan beliau bekerja dari petang hingga tengah malam, tanpa rehat ataupun makan.

Namun hikmah di sebalik nasibnya kini adalah beliau dapat bekerja lebih masa, selain masih melakukan kerja-kerja rencam.

Pendapatan hariannya yang tidak seberapa sudah memadai buat masa ini. Walaupun ia dipengaruhi oleh faktor seperti cuaca, pendapatannya cukup untuk menyewa sebuah bilik di Bau, dengan hanya RM380.

Namun, beliau tidak putus harapan untuk menaik taraf kehidupannya, walaupun prospeknya kelihatan kelam buat masa ini.

“Saya tak dapat peluang untuk bekerja sebagai tukang masak setakat ini, tetapi saya harap akan dapat kembali memasak agar saya dapat perbaiki kehidupan saya,” katanya yakin, sebelum kembali menghiburkan kanak-kanak yang ingin berinteraksi dengan beruang comel itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.