Bekas Timbalan Menteri ditidurkan esok akibat Covid-19, kata adiknya

Bekas Timbalan Menteri ditidurkan esok akibat Covid-19, kata adiknya

Ab Aziz Kaprawi mengalami sedikit kerosakan pada paru-paru, selepas disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Ab Aziz Kaprawi disahkan positif Covid-19 lima hari lalu.
PETALING JAYA:
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi yang dijangkiti Covid-19 sepatutnya ditidurkan hari ini ditangguhkan ke esok.

Perkara itu disahkan adiknya, Khir Johari ketika dihubungi FMT sebentar tadi, yang turut memaklumkan keadaan abangnya tidak menentu, terutamanya tahap oksigennya.

Petang tadi, katanya, doktor memaklumkan situasi bekas Ahli Parlimen Sri Gading itu tidak menentu kerana terdapat sedikit kerosakan dikesan pada paru-parunya.

“Pagi tadi abang kurang sihat, tetapi pada jam 2 petang, keadaan kembali okey. Tapi, waktu maghrib tadi dia kembali tidak sihat.

“Doktor bercadang untuk dia ditidurkan, namun abang minta ditangguhkan esok. Pada abang, dia kelihatan sihat, tetapi doktor terpaksa berbuat demikian kerana dia tidak boleh lasak, jadi dia perlu ditidurkan.”

Khir berkata, beliau dan ahli keluarga sudah mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat supaya abangnya sihat semula.

“Saya dimaklumkan, keadaan oksigennya turun naik. Sekejap okey…sekejap ‘drop’. Abang dimasukkan ke hospital kerana oksigen menurun, ambulans datang rumah ambil dia.

“Oksigen abang mula-mula pada tahap 94, kemudian turun kepada 87, kemudian naik semula. Kalau ikutkan doktor, dia sepatutnya ditidurkan esok.

“Tapi kami tidak tahu sekiranya ada keajaiban esok. Kami sekeluarga berharap perkara ini (ditidurkan) tidak berlaku,” katanya.

Aziz, 62, dan isterinya, Sabariah Tokimin disahkan positif Covid-19 lima hari lalu.

Aziz sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, manakala isterinya masih menjalani kuarantin di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.