
Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili plaintif OWA Resources bagi kes pelanggaran kontrak perniagaan, menerima kelulusan permohonan dari Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu bagi membuat lelongan awam kedua di rumah Nur Sajat di premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara pada 22 Dis ini.
“Firma guaman kami menerima pengisytiharan jualan yang dikeluarkan mahkamah pada 16 Dis lepas. Orang ramai yang ingin membeli senarai barang yang akan dilelong bolehlah datang ke lokasi lelongan pada Rabu ini,” kata Hafidzah, peguam utama OWA Resources, dipetik Utusan Malaysia.
Mereka yang ingin membida pada Rabu ini dinasihatkan membawa wang mencukupi bagi memastikan bayaran terus dibuat selepas proses pembidaan.
Senarai barang yang akan dilelong pada 10.30 pagi itu sama seperti lelongan pertama pada 14 Dis lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, proses lelongan awam terpaksa dilakukan untuk kali kedua minggu ini kerana lelongan pertama gagal selepas seorang pembida, Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol yang membuat bidaan tertinggi sebanyak RM132,000 menghilangkan diri dengan memberi alasan keluar membuat bank draf sejurus sesi bidaan berakhir.
Hafidzah berkata, lelongan kedua ini bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar seperti diarahkan mahkamah kepada anak guamnya, iaitu Nurwati Husin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources, hanyalah wang saguhati kepada anak guamnya.
“Objektif utama anak guam mengambil tindakan undang-undang melalui kes saman sivil ini bagi membersihkan nama mereka setelah dituduh menipu, memfitnah dan satu laporan polis palsu dibuat pihak defendan kononnya anak guam pecah amanah wang syarikat Muhammad Sajjad sebanyak RM1 juta.
“Selepas lebih tiga tahun berjuang untuk kes ini di mahkamah, sistem kehakiman mendapati pihak plaintif tidak pernah menipu, memfitnah dan pecah amanah seperti didakwa pihak defendan. Anak guam tidak bersalah dan keadilan telah ditegakkan,” kata Hafidzah.