Saya tak akan tanding di Parlimen Larut, kata Saarani

Saya tak akan tanding di Parlimen Larut, kata Saarani

Penyandang Parlimen Larut adalah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, yang kini Setiausaha Agung Bersatu.

Ketua Umno Perak yang juga Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata orang Larut sendiri ada calon tempatan yang boleh menang.
LARUT:
Ketua Umno Perak Saarani Mohamad menamatkan teka-teki dengan akhirnya mengesahkan beliau tidak akan menjadi calon di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saarani berkata, beliau tidak akan mengucar-ngacirkan Umno Bahagian Larut walaupun terdapat pandangan pelbagai pihak mengatakan beliau calon yang sesuai untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Larut yang juga Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

“Saya sudah ambil bahagian ini (sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Larut) pada waktu mereka kehilangan ‘bapa’ (Hamzah meninggalkan Umno) dan saya beri jaminan saya tidak akan bertanding di sini.

“Saya hendak balik ke Lenggong kerana saya Ketua Umno Bahagian di sana…Di Lenggong saya pun ada calon sendiri di Parlimen. Saya tidak hendak usik apa-apa di Larut. Saya pastikan saya bagi semangat keyakinan Umno Larut bahawa orang Larut sendiri ada calon tempatan, mereka boleh menang,” katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut Tahun 2021, di sini.

Beliau berkata, setakat ini Umno Perak belum membuat sebarang keputusan mengenai calon yang sesuai untuk ditempatkan di Parlimen Larut pada PRU15.

Sebelum ini dilaporkan kononnya Saarani akan bertanding di Parlimen Larut selepas memangku jawatan Ketua Umno Bahagian Larut yang ditinggalkan Hamzah sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.