
Episod getir dihadapi Zamri Maulan, bermula selepas beliau membeli barang keperluan di Putra Heights, Subang Jaya, kira-kira 4 petang semalam, yang ketika itu paras air masih rendah.
Namun, dua jam kemudian, jalan ke rumahnya di Bukit Lanchong, Subang Jaya, ditutup dengan paras air mencapai hingga ke paras leher, termasuk menenggelamkan aras bawah rumahnya.
Tidak mempunyai pilihan lain, Zamri bersama penduduk lain hanya mampu menunggu di tempat tinggi dan hatinya gelisah mengenangkan nasib isteri dan anak berusia dua hingga 11 tahun. Turut terkandas, orang gaji mereka dan empat ekor kucing yang turut kehabisan makanan.
“Saya cuba juga cari bot untuk ke rumah nak selamatkan mereka tetapi tak dapat, hanya sekitar jam 3.30 pagi baru saya dapat tumpang bot bomba. Tetapi tidak lepas kerana ada bukit.
“Saya turun dari bot dan cuba meredah banjir tetapi saya berhenti kerana air sudah mencapai paras leher. Bahaya dan saya ketika itu tidak memakai jaket keselamatan,” katanya kepada FMT.
Zamri berkata, rasa sakit kesan pembedahan hidungnya baru-baru ini ditolak tepi, dan beliau tetap menguatkan semangat supaya keluarganya dapat dibawa keluar ke tempat selamat.
“Sepatutnya selepas pembedahan saya perlu mencuci luka untuk mengelakkan darah beku, selain itu badan juga agak terkesan bila terdedah dengan hujan serta angin.

“Saya ada berhubung dengan isteri yang memberitahu mereka berada di tingkat atas rumah, perkara menyedihkan saya apabila mendengar mereka kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan,” katanya.
Selepas terpisah lebih 20 jam, mereka akhirnya kembali bersatu kira-kira 12 tengah hari tadi, selepas dibantu anggota bomba dengan bantuan tentera yang menggerakkan aset ke kawasan perumahan berkenaan.
“Sementara menunggu bantuan sampai, saya hanya mendiamkan diri di tengah-tengah air banjir dengan keadaan hampir putus asa, badan saya jadi lemah kerana tidak makan sejak petang semalam,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini keluarganya menumpang teduh di rumah jiran mereka yang tidak terkesan dengan banjir.
“Rumah kami masih lagi digenangi air kami membuat keputusan untuk pulang selepas keadaan benar-benar surut dan selamat memandangkan anak kami paling kecil baru berusia 11 bulan,” katanya.
Zamri berkata, menurut penduduk asal di kawasan itu kejadian banjir kali terakhir berlaku kira-kira 50 tahun lalu.
“Kejadian banjir ini sememangnya satu pengalaman buruk untuk kami sekeluarga, namun saya bersyukur kerana keluarga semua selamat walaupun harta benda musnah,” katanya.