
Pelantikan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pada Perhimpunan Agung Tahunan parti di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Sukacita saya maklumkan bahawa Sayap Bersekutu ditubuhkan secara rasmi dengan teratur mengikut perlembagaan parti, justeru bagi mengetuai Sayap Bersekutu, Santhara Kumar Ahli Parlimen Segamat dilantik sebagai ketua sayap parti,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu dilaporkan tidak dapat hadir pada persidangan berkenaan ekoran mengalami masalah kesihatan.
“Beliau tak dapat hadir pagi ini, tetapi beliau ada semalam. Pagi ini beliau maklumkan agak kurang sihat, dia takut masalah yang lain jadi beliau minta maaf untuk tidak hadirkan diri,” kata Hamzah.
Dalam pada itu, bagi mencerminkan keterbukaan dan pengiktirafan kepada sayap Bersekutu, parti turut melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Chong Fat Full untuk mengemudi sayap berkenaan.
Hamzah berkata, setakat ini, Bersatu yang ditubuhkan pada Sept 2016 memiliki seramai 563,524 ahli.