
Ketuanya, Zawawi Othman berkata pemimpin Umno yang tergesa-gesa mahu pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya mempunyai agenda peribadi dan sengaja mahu mengundang perpecahan dalaman.
“Bahagian yang mendesak supaya pemilihan diadakan segera, mungkin mereka merasakan akan disingkir sebagai calon di kawasan Parlimen dan DUN…mereka berkepentingan sangat untuk menjawat jawatan Menteri, Timbalan Menteri atau Exco sebab itu mereka terpaksa membelakangkan kepentingan parti.
“Kita tidak fokus kepada benda itu, kita fokus kepada kekuatan parti, kita tidak boleh adakan pemilihan parti dahulu kerana ia akan mengundang perpecahan,” katanya kepada FMT.
Tegasnya, Umno perlu diperkuatkan di peringkat akar umbi menjelang PRU15, bukan membiarkan parti itu “masuk ke medan perang” dalam keadaan “berdarah” dan tidak sempurna akibat episod yang tidak diingini mungkin berlaku dalam pemilihan.
“Soalnya sekarang, parti kita kena menang, takkan kita nak masuk di medan perang ketika parti kita sedang berdarah, terseliuh… patah sana patah sini,” katanya.
Terdahulu, dalam mesyuarat Perwakilan Bahagian Umno, Zawawi berkata seramai 450 perwakilan bersetuju agar Perhimpunan Agung Umno 2021 meminda Perlembagaan bagi menetapkan pemilihan parti hanya dibuat selepas PRU15, yang dijangka diadakan selepas pertengahan tahun depan.
“Ketetapan ini juga dibuat bagi memastikan kedudukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Umno dalam kerajaan terus dipertahankan demi melaksanakan amanah mentadbir negara dan menguruskan hal ehwal rakyat dengan sempurna.
“Pemilihan parti selepas setiap kali pilihan raya umum sudah tentu mampu memastikan kestabilan politik dan kerukunan dalaman parti sekali gus menjamin keharmonian politik negara,” katanya.
Umno bahagian Jelebu minggu lalu mencadangkan pemilihan parti bagi penggal 2021 hingga 2024 yang kini ditangguhkan sehingga Disember 2022 dapat dibuat lebih awal sebelum PRU15.
Ketua Umno Bahagian Jelebu, Jalaluddin Alias berkata, cadangan itu dipersetujui Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan bahagian yang diadakan ketika itu.