‘Suka tuding jari, jadi VIP, kurang dekati pengundi,’ Peja dedah punca Bersatu kalah di Melaka

‘Suka tuding jari, jadi VIP, kurang dekati pengundi,’ Peja dedah punca Bersatu kalah di Melaka

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata pimpinan parti telah menghidu udara kemenangan di Melaka, namun satu persatu kelemahan timbul menjelang hari mengundi.

Ahmad Faizal berkata Bersatu harus akur beberapa kelemahan dalaman membawa kepada parti itu hanya menang di dua kerusi DUN, meskipun cukup yakin akan menang pada awalnya. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR :
Keghairahan menuding jari, suka jadi “VIP” dan kurang dekati pengundi antara punca Perikatan Nasional (PN) tewas di 26 daripada 28 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Berucap melancarkan persidangan tahunan Srikandi dan Armada Bersatu, Ahmad Faizal bagaimanapun menolak desakan sesetengah pihak mahukan parti itu dibubarkan kerana kekalahan di Melaka bulan lalu.

“Kita terima hakikat, banyak yang kita perlu tambah baik. Tetapi, ada yang kononnya menyindir kita; minta kita bubarkan parti. Mereka lupa; parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian,” kata beliau.

Namun begitu, Bersatu harus akur beberapa kelemahan dalaman yang membawa kepada parti itu hanya menang di dua kerusi DUN, meskipun cukup yakin akan menang pada awalnya, katanya.

“Di peringkat awal – saya dan ramai rakan-rakan pimpinan dapat menghidu ‘udara kemenangan’. Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘Abah’; saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa ‘penerimaan positif’ rakyat,” kata beliau merujuk kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN.

Bagaimanapun, pelbagai “kelompongan dan kelemahan” dikesan kemudiannya, kata beliau yang menerajui jentera pilihan raya parti pada PRN itu.

“Kita banyak ‘menuding jari’, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri. Kita kurang ‘D.I.Y’ (Do it yourself, sendiri membuat kerja) kurang. Kita suka tengok orang buat kerja; supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi,” kata Ahmad Faizal.

“Ada juga pandangan, kita masih kekurangan ilmu pilihanraya. Kita suka jadi VIP. Saya sebut tadi, kita perlu kembali kepada asas. Asas ilmu pilihan raya ini ada dua – dan saya sendiri buat kedua-duanya. Ilmu susun kerusi dan ilmu letak bendera. Ini kita mesti fasih,” beliau memberitahu perwakilan.

Ahmad Faizal berkata kalangan pemimpin dan ahli parti juga tidak mendekati pengundi dan ini turut menjejaskan sambutan pengundi kepada parti itu.

“Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri. Pergi Melaka. Kumpul sama sendiri. Tapi tidak turun mendekati pengundi,” kata beliau.

Walaupun Umno-Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga pada PRN itu, Ahmad Faizal berkata PN menempa kejayaannya sendiri.

“PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata rakyat dan pengundi: bahawa PN serius dan bersungguh untuk memimpin negara,” kata beliau.

Beliau berkata selain menang DUN Bemban dan Sungai Udang, parti itu “menunjukkan potensi amat baik” di Tanjung Bidara, Pantai Kundor dan Serkam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.