Hujan lebat, helikopter dinaiki Abang Jo mendarat cemas

Hujan lebat, helikopter dinaiki Abang Jo mendarat cemas

Insiden itu berlaku ketika helikopter dinaiki Ketua Menteri Sarawak sedang dalam penerbangan dari Gedong ke Masjid Jamek di Kuching.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah helikopter berwarna putih sedang melakukan pendaratan cemas semasa hujan lebat.
KUCHING:
Helikopter dinaiki Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg terpaksa melakukan pendaratan cemas di padang kawad Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kira-kira 2 petang tadi akibat hujan lebat.

“Akibat hujan lebat, helikopter itu yang sepatutnya mendarat di Masjid Jamek Negeri terpaksa dilencongkan ke UNIMAS. Semua penumpang dalam helikopter termasuk Abang Johari selamat,” kata Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Ahmad Hazlan Ismawi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, insiden itu berlaku ketika helikopter dinaiki Abang Johari sedang dalam penerbangan dari Gedong ke Masjid Jamek di Kuching.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah helikopter berwarna putih sedang melakukan pendaratan cemas semasa hujan lebat.

Abang Johari merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Proses pengundian bagi PRN12 berlangsung hari ini dalam keadaan hujan di sesetengah kawasan di bandar raya ini.

Sementara itu, dalam kenyataan, pejabat Abang Johari menjelaskan, juruterbang memutuskan untuk mendapat di UNIMAS kerana cuaca buruk dan tahap penglihatan rendah semasa penerbangan balik dari Gedong.

“Tidak timbul soal pendaratan cemas,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.