
Selain itu, ia juga memudahkan pesawah konvensional melakukan pembaharuan.
Penggunaan dron dalam proses pembajaan sawah padi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pesawah di Kedah, sebelum ini, berdepan masalah susulan ketiadaan sistem logistik teratur serta bersesuaian, namun kesulitan itu akhirnya berjaya diselesaikan.
Tenaga pengajar di GiatMara Jitra, Ahmad Bakri Desa, berkata inovasi membangunkan “drone carrier” itu timbul selepas melihat kebanyakan penyedia dron berdepan masalah logistik mengangkut peralatan canggih itu ke kawasan sawah padi.
“Kami memperuntukkan sejumlah RM30,000 bagi membina ‘drone carrier’ itu dengan tujuan menyelesaikan kesulitan pengendali dron membawa peralatan terbabit masuk ke kawasan sawah padi.
“Dalam inovasi ‘drone carrier’ itu, dron diletakkan secara selamat, selain tempat racun, termasuk air diasingkan bagi tujuan keselamatan. Sebelum ini, pengendali dron berdepan masalah keselamatan kerana mereka mencampurkan racun dan dron yang dimuatkan dalam van sahaja atau kereta,” katanya kepada FMT.
Beliau ditemui ketika menyertai Program Outreach Keusahawanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)@Padang Terap, bertempat di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, yang dirasmikan Menterinya, Mahdzir Khalid.
“Drone carrier” hasil inovasi sekumpulan 10 tenaga pengajar dan pelatih itu menggunakan jentera pacuan empat roda (4WD), yang diubahsuai bagi memuatkan sebuah dron bersaiz besar, termasuk penyimpanan racun diasingkan, dan tangki air berkapasiti 250l.
Penggunaan dron pertanian boleh digunakan secara meluas terutama di kawasan jelapang padi dari Perlis, Kedah, Seberang Perai, Pulau Pinang, dan utara Perak. Dron mempunyai kapasiti melaksanakan tiga aktiviti utama, meliputi menabur benih, meracun dan membaja.
Lebih menarik, dron boleh diterbangkan terus melalui “drone carrier” menerusi modifikasi bumbung yang dikuasakan dengan motor, bagi membuka lokasi penyimpanan dron.
Bakri berkata, “dron carrier” itu juga dilengkapi pengecas bateri tersedia, sekali gus memudahkan operasi dron ketika pembajaan dilaksanakan bagi tempoh panjang.
“Kecekapan adalah kunci kepada pembinaan ‘dron carrier’ itu kerana proses bancuhan racun boleh dilakukan di atas kenderaan. Sebelum ini, pengendali dron hanya mengambil air tidak bersih kerana kesulitan membawa air bersih untuk dicampur dengan racun,” katanya.
Idea pembuatan
Beliau berkata, idea pembuatan jentera itu hasil daripada inisiatif program, “custom car challenge” dilaksanakan GiatMara di ibu pejabat, dengan setiap negeri diminta menghasilkan satu inovasi untuk tujuan dipertandingkan.

“Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), sesi pengajaran tidak dapat dilaksanakan, jadi kita mengambil inisiatif menghasilkan ‘drone carrier’ sebagai mekanisme mengeratkan semangat berpasukan, dan meningkatkan kemahiran diri. Jadi, kami mengambil keputusan melakukan inovasi yang bersesuaian dengan masalah setempat, terutama di kawasan pertanian sawah padi di negeri ini,” katanya.
Bakri berkata, pembangunan jentera unik seumpama itu disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan siap sepenuhnya pada 30 Nov.
“Kami berharap proses pemodenan pertanian di negeri ini dikembangkan terutama dalam memudahkan penggunaan teknologi baharu bagi peningkatan kapasiti,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, kementeriannya memperuntukkan sejumlah RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, peruntukan itu disalurkan menerusi program khas sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).
“Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar tersebut turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.
“Bermula September lalu, KPLB telah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid-19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, justeru usahawan luar bandar yang belum memohon geran terbabit diminta berbuat segera demi memastikan hasil pendapatan mereka kembali meningkat.