Balai Polis Lubok China tenggelam dilanda bah

Balai Polis Lubok China tenggelam dilanda bah

Hujan berterusan yang melanda Alor Gajah, Melaka sejak petang semalam menyebabkan balai polis dan seluruh pekan tenggelam.

Balai Polis Lubok China, di Alor Gajah Melaka terjejas teruk akibat ditenggelami banjir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hujan berterusan yang melanda Alor Gajah, Melaka sejak petang semalam menyebabkan Balai Polis Lubok China terjejas teruk akibat ditenggelami banjir.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah memaklumkan, hujan tanpa henti sehingga pagi tadi menyebabkan paras air sungai naik mendadak hingga balai polis dan seluruh pekan tenggelam.

“Ini merupakan banjir yang terburuk pernah terjadi menyebabkan paras air naik separuh bangunan Balai Polis Lubok China.

“Semoga warga Balai Polis dan masyarakat sekitar dalam keadaan selamat dan dipermudahkan urusan perpindahan ke tempat yang selamat,” katanya dalam hantaran itu.

Daerah Alor Gajah khususnya di Durian Tunggal, Ramuan Besar China dan Pekan Lubok China mencatatkan jumlah mangsa banjir terbesar iaitu seramai 225 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Alor Gajah.

“Tiada PPS yang dibuka untuk daerah Jasin dan Melaka Tengah. Di Jasin hanya satu kawasan dilanda banjir iaitu di Lubuk Kasau.

“Untuk Melaka tengah pula hampir 14 kawasan terjejas antaranya Taman Bukit Beruang Melawis, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Kampung Sungai Putat dan Taman Merdeka,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.