
Namun ini tidak akan mudah dicapai, persaingan sengit dijangka berlaku di beberapa kerusi.
Seramai 347 calon dan 10 parti bertanding bagi merebut 82 kerusi, termasuk GPS, Pakatan Harapan (PH), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
FMT melihat lapan kerusi utama bersama penganalisis felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, dan felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun bagi menimbangkan kemungkinan pemenangnya.
Padungan
Meninggalkan Kota Sentosa selepas 15 tahun, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen (DAP) bertanding di kerusi panas ini menentang calon GPS, bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Wee Hong Seng.
Kerusi itu menjadi milik pembangkang sejak 2006, tetapi penyandangnya Wong King Wei tidak akan mempertahankannya setelah meninggalkan DAP.
Chong dituduh “lari” dari Kota Sentosa, namun Wee juga menimbulkan kontroversi baru-baru ini selepas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kuching mendakwa ia tidak mencalonkannya.
Menurut Wee, ini adalah “perkara dalaman”, tetapi isu itu pasti akan menjejaskan prospeknya memenangi Padungan.
Mereka juga akan bersaing menentang Lina Soo daripada Aspirasi dan Raymond Thong (PBK) dalam pertembungan empat penjuru.
Ramalan penganalisis:
Jeniri: DAP
Awang Azman: 50-50 antara GPS dan DAP
Oh: Terlalu sengit
Batu Lintang
Kerusi itu milik PKR sejak 2011, tetapi pada 2020, penyandangnya, See Chee How, dipecat daripada parti itu susulan Langkah Sheraton. Beliau berhasrat untuk dipilih bagi penggal ketiga, kali ini dengan tiket muka baharu PSB.
Bagaimanapun, beliau berdepan persaingan yang sengit dengan empat lagi calon bertanding, termasuk Cherishe Ng daripada bekas partinya dan Voon Lee Shan, bekas ADUN Batu Lintang DAP dari 2006 hingga 2011 yang kini bersama PBK.
Calon-calon lain yang bertanding adalah Sih Hua Tong daripada GPS, dan Leong Shaow Tung (Aspirasi).
Pada 2016, See mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,385.
Ramalan penganalisis:
Jeniri: PSB
Awang Azman: 50-50 antara PSB dan PKR
Oh: PSB
Kota Sentosa
Kubu kuat DAP ini dipegangnya sejak 2006 selepas kawasan itu diwujudkan pada tahun sebelumnya. Namun, penyandang tiga penggalnya, Chong tidak akan mempertahankan kerusi itu dengan digantikan pembantu khasnya, Michael Kong.
Kong berdepan Wilfred Yap daripada GPS, yang menuduh prestasi Chong buruk dalam tempoh lima tahun lalu dan “lari” ke Padungan. Yap, yang tewas kepada Chong pada 2016 dengan 2,819 undi, akan berusaha untuk merampas kerusi itu daripada DAP, selain mengetepikan calon daripada PSB, Aspirasi dan PBK.
Ramalan penganalisis:
Jeniri: GPS
Awang Azman: DAP
Oh: DAP
Batu Kawah
Penyandangnya, Dr Sim Kui Hian (GPS) menjadi calon pilihan untuk memenangi kerusi majoriti Cina ini. Namun, Presiden SUPP itu berdepan pencabar hebat Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, yang semakin popular sejak dipilih pada 2018.
Walaupun Sim dan Yii kedua-duanya digemari ramai, Sim mungkin mempunyai kelebihan untuk menang kerana prestasinya di Batu Kawah dan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri sejak lima tahun lalu.
Selain Yii, Sim juga akan menentang Chai Kueh Khun daripada PBK, dan Fong Pau Teck (Aspirasi).
Ramalan penganalisis:
Jeniri: GPS
Awang Azman: 50-50 antara GPS dan DAP
Oh: GPS
Mambong
Kerusi yang sebelum ini dikenali sebagai Bengoh dimenangi pada PRN lalu oleh Jerip Susil sebagai calon BN, tetapi beliau berharap untuk mengekalkannya sebagai calon GPS kali ini.
Jerip memenangi kerusi itu tiga kali sebelum meninggalkan komponen BN, SUPP untuk menyertai United People’s Party yang mesra BN. Parti berkenaan kemudian dijenamakan semula sebagai PSB pada 2018. Selepas setahun bersama pembangkang, beliau meninggalkan PSB dan menyertai GPS.
Jerip akan dicabar oleh Sanjan Daik daripada PSB, Chang Hon Hiung (DAP), Chong Siew Hung (Aspirasi), dan Joshua Ramon (PBK).
Ramalan penganalisis:
Jeniri: GPS
Awang Azman: 50-50 antara GPS dan PSB
Oh: GPS
Simanggang
Francis Harden Hollis daripada GPS berharap untuk mengekalkan kerusi ini buat penggal keenam setelah dipilih kali pertama pada 1996. Namun apa yang menjadi kebimbangan Menteri Muda negeri itu adalah majoriti kemenangannya berkurangan daripada hampir 7,000 pada 2001 kepada 1,388 pada 2016.
Pencabar terdekatnya pada PRN kali ini adalah Leon Jimat Donald daripada DAP, yang bertanding di kerusi itu buat kali ketiga dan bekas penjawat awam, Walsin Wilson Entabang (PSB).
PBK turut meletakkan calon di kerusi majoriti Iban ini.
Ramalan penganalisis:
Jeniri: GPS
Awang Azman: 50-50 antara GPS dan DAP
Oh: 50-50 antara GPS dan DAP
Dudong
Tiada parti yang boleh mendakwa kerusi ini kubu kuatnya dengan penyandangnya bertukar ganti antara BN, DAP dan PSB sepanjang sedekad lalu.
Dengan pengundinya terdiri daripada 52% kaum Cina dan 48% Bumiputera, kerusi ini ditandingi paling ramai calon pada PRN kali ini, dengan pertembungan lapan penjuru menanti Duta Khas ke China Tiong King Sing (GPS).
Tiong dikenali kerana menjadi Ahli Parlimen Bintulu sejak 1999, namun ini kali pertama Presiden PDP itu akan bertanding bagi kerusi DUN. Beliau berdepan pesaing daripada DAP, PSB, PBK, PBDSB, Aspirasi, selain dua calon bebas.
Ramalan penganalisis:
Sebulat suara diramalkan GPS akan menang
Tamin
Antara persaingan satu lawan satu dalam PRN kali ini, perebutan kerusi Tamin melibatkan dua tokoh yang pernah mewakili kawasan itu.
Penyandangnya, Christopher Gira Sambang daripada GPS, akan menentang ahli politik veteran Joseph Entulu Belaun, bekas ADUN Tamin dari 1991 hingga 2006 dan Ahli Parlimen Selangau selama tiga penggal sehingga 2018.
Joseph, yang sebelum ini menganggotai komponen GPS, PRS, juga pernah menjadi menteri persekutuan sehingga kejatuhan kerajaan BN.
Dengan kata lain, persaingan ini bukan mudah bagi Christopher, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,085 pada 2016.
Ramalan penganalisis:
Jeniri: PSB
Awang Azman: 50-50 antara PSB dan GPS
Oh: Terlalu sengit