
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kerajaan harus membuktikan bahawa ia komited terhadap usaha pencegahan rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengemukakan usul untuk meluluskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perkara itu.
PAC menyebut dalam laporannya pada 13 Dis bahawa BNM “terlebih bayar” bagi sebidang tanah kerajaan yang tidak dicadang untuk dibelinya.
Katanya, hasil RM2.07 bilion daripada pembelian tanah itu yang dikenali sebagai Lot 41 digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Dalam kenyataan, Lim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyebut bahawa Malaysia akan menyokong Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dan menjalankan beberapa usaha yang membuktikan keseriusannya dalam perkara itu.
Beliau berkata, Wan Junaidi memetik usaha seperti rampasan sebahagian daripada aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam skandal 1MDB berjumlah RM5 bilion serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).
“Saya menyeru Wan Junaidi mengemukakan usul di Dewan Rakyat pada Isnin untuk menerima pakai laporan PAC yang mengesahkan syak wasangka bahawa dana Bank Negara digunakan untuk menyelamatkan 1MDB,” katanya.