Penjawat awam didenda RM8,000: CUEPACS minta ketua jabatan bertimbang rasa

Penjawat awam didenda RM8,000: CUEPACS minta ketua jabatan bertimbang rasa

Ketua jabatan dinasihatkan bertindak mengikut pertimbangan baik dan adil kerana setiap masalah boleh diselesaikan di peringkat jabatan.

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata, kakitangan awam yang ingin berniaga atau melakukan kerja tambahan dinasihati membuat permohonan bertulis kepada ketua jabatan, selain memastikan kerja hakiki tidak terjejas dan terganggu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penjawat awam yang ingin menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan dinasihati agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata, perkara itu perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan di samping memastikan kerja hakiki tidak terjejas dan terganggu berikutan penglibatan dalam perniagaan atau pekerjaan kedua.

“Keutamaan haruslah diberi kepada perkhidmatan masing-masing agar tiada perkara berbangkit berlaku. CUEPACS juga berharap ketua jabatan sentiasa mengingatkan perkara ini kepada kakitangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kes seorang penjawat awam yang didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas mengaku bersalah terlibat dalam perniagaan membekalkan sarung kaki bernilai RM44,500 tanpa kebenaran.

Adnan juga menasihati sekiranya berlaku permasalahan, ketua jabatan haruslah bertindak mengikut pertimbangan yang baik dan adil kerana setiap masalah yang berlaku boleh diselesaikan di peringkat jabatan tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima pekerja di sektor awam dan swasta berikutan pekerja melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup disebabkan skim gaji yang rendah.

“Ketika ini situasi seorang pekerja yang terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa. Di sektor awam permulaan gaji adalah RM1,200 sebulan manakala gaji minimum di sektor swasta juga bermula RM1,200 sebulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.