
S Jeeva, 51, pengarah sebuah syarikat; M Raja, 35 (pekerja bebas); P Yogan Pillay, 25, (pemandu lori) dan seorang tertuduh wanita, M Bereamalah, 39, (ejen insurans) mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan majistret Norzaliza Tesmin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian P Rajasegar, 52, di sebuah menara syarikat insurans, Jalan Lintang, di sini, antara 10.30 pagi 12 Nov hingga 4.45 petang 2 Dis lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Abu Bakar Isa Ramat.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban Nanda Maarof berkata, kesemua suspek berkenaan disyaki membunuh seorang lelaki susulan penemuan satu rangka manusia dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor, pada 2 Dis lalu.
Menurut Nanda, kejadian yang dipercayai bermotifkan peras ugut itu bermula pada 12 Nov lalu selepas seorang pekerja insurans berusia 44 tahun di sini membuat laporan polis kerana gagal menghubungi suaminya yang turut bekerja di syarikat sama sejak keluar berseorangan dengan menaiki kereta jenis Honda CRV pada hari sama.
“Lima hari kemudian (16 Nov), kereta mangsa ditemui di tepi Jalan Permata Kiri Kampung Olak Lempit, Banting Selangor dalam keadaan berkunci, namun mangsa tiada di lokasi.
“Bagaimanapun, pada 2 Dis lepas, polis menemui satu rangka manusia dalam semak berhampiran kawasan Gadong, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor yang dipercayai mangsa dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.