Lelaki 38 tahun, korban pertama banjir di Pahang

Lelaki 38 tahun, korban pertama banjir di Pahang

Mayat M Gunalan, ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 2.37 petang kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus.

Beberapa anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat M Gunalan yang ditemukan lemas dihanyutkan arus deras di Jalan Pulau Manis berhampiran Kubur Cina Gambang di Gambang, Pahang (Gambar Bomba Pahang)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki menjadi korban pertama banjir di Pantai Timur apabila ditemui lemas selepas dilaporkan terjatuh daripada motosikal ketika meredah banjir di Jalan Pulau Manis, berhampiran Kubur Cina Gambang di Gambang, Pahang, hari ini.

Mayat M Gunalan, 38, ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 2.37 petang kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Gambang pada jam 12.40 tengahari.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menaiki motosikal jenis EX5 bertindak menyeberangi arus atas jalan untuk pulang ke rumahnya di Jalan Kuantan-Segamat.

“Disebabkan arus deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan menyebabkan dia serta motosikal dibawa arus sehingga ke dalam kebun sawit berhampiran,” katanya menurut laporan Utusan Online.

Mohd Hilmi berkata, mangsa merupakan kes kematian pertama akibat banjir setakat ini.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menggunakan teknik “Water Surface Rescue” dengan melibatkan 24 anggota dan tiga jentera termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Kuantan dan Pasukan Bomba Sukarela Gambang.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.