Hakim tegur wanita seperti ‘Keluarga 69’, ikut jejak suami terjebak dadah

Hakim tegur wanita seperti ‘Keluarga 69’, ikut jejak suami terjebak dadah

Hakim Mahkamah Tinggi Abd Halim Aman, berharap hukuman dikenakan dijadikan pengajaran supaya anak-anak tidak terjebak.

Hakim Mahkamah Tinggi Abd Halim Aman, menegur Noraini Yusof, 57, tidak menjadikan penjara sebagai tempat kematian. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Hakim Mahkamah Tinggi Abd Halim Aman menegur seorang tertuduh seperti “Keluarga 69” sebelum menjatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana memiliki syabu seberat 52.4 gram, dua tahun lalu.

Tertuduh, Noraini Yusof, 57, ditegur kerana melakukan kesalahan sama seperti suaminya yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

“Sudah macam Keluarga 69, hendak jadi apa ini? Emak macam ini, bapa macam ini. Cukup-cukuplah, jangan jadikan penjara sebagai tempat kematian, biarlah mati elok-elok,” tegur hakim seperti dilaporkan Kosmo!.

Terdahulu, Noraini yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan kerana memiliki syabu.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Feb 2019.

Pada prosiding itu, Abd Halim menegaskan agar tertuduh menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran dan berharap supaya anak-anak tertuduh yang lain tidak terjebak ke kancah dadah.

“Suami pergi macam itu (menjalani hukuman di penjara kerana kesalahan dadah), kenapa ikut? Kamu boleh berfikir apa akan jadi kepada anak-anak kamu.

“Sebagai ibu, macam mana kamu hendak tunjuk teladan baik kepada anak? Tidak akan ada kesudahan. Kalau sudah tunjang begitu, tidak kukuh, tidak kuat, macam mana nanti?,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.