
Beliau berkata, hak untuk “autonomi badan” dianjurkan oleh undang-undang, namun masih terdapat jurang sosial dan perundangan apabila membabitkan wanita dan gadis.
“Jurang ini boleh dan akan, diisi apabila kita semua sebagai masyarakat membuat keputusan untuk melakukan lebih baik.

“Sebagai penggubal dasar, saya akan lebih berusaha untuk mewujudkan dasar yang bukan sahaja akan memastikan perlindungan terhadap wanita dan gadis, malah memberi tumpuan kepada kesejahteraan mereka dalam semua aspek,” katanya dalam ucaptama pada Forum Wanita dan Gadis Malaysia tahunan kali kedua yang dianjurkan oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Tema forum tahun ini adalah “Autonomi Badan: Memastikan Hak & Pilihan untuk Wanita dan Gadis Malaysia”.
Khairy berkata, keganasan terhadap wanita sebenarnya adalah isu kesihatan.
“Wanita yang didera lebih cenderung terlibat dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang,” katanya.
“Tambahan lagi tekanan akibat keganasan dikaitkan dengan kadar penyakit kronik yang lebih tinggi (seperti penyakit jantung dan diabetes), gangguan kesihatan mental dan jangkitan dalam kalangan wanita yang didera.”
Beliau berkata, kerajaan berusaha untuk membanteras keganasan domestik terhadap wanita. Ini termasuk menubuhkan pusat krisis sehenti yang bertujuan menjadi titik pemprosesan bersepadu bagi mangsa yang terselamat untuk mendapat akses kepada perlindungan, penjagaan kesihatan dan keadilan.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021, Khairy turut melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Kesihatan Mental 2020-2025 yang mengetengahkan kerjasama antara sektor dan kesiapsiagaan krisis dalam menangani isu kesihatan mental, bunuh diri dan tingkah laku yang cenderung ke arahnya.
Khairy berkata, Malaysia menandatangani banyak konvensyen hak asasi manusia seperti Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Kependudukan dan Program Bertindak pada 1994 yang memastikan hak dan pilihan reproduktif wanita dan gadis, diikuti Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995.
“Ini adalah komitmen yang berakar umbi dalam pemahaman bahawa sama seperti kebanyakan negara, kita mesti melakukan lebih baik untuk memastikan kita dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan pilihan rakyat kita, tanpa mengira usia, jantina atau kepercayaan.
“Kita juga menetapkan sasaran untuk mencapainya menjelang 2030 selaras dengan matlamat Kumpulan Pembangunan Lestari PBB,” katanya.