Banjir landa beberapa negeri, mangsa di Pantai Timur terus meningkat

Banjir landa beberapa negeri, mangsa di Pantai Timur terus meningkat

Banjir dilaporkan melanda Selangor dan beberapa negeri di Pantai Timur berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam dengan jumlah mangsa dilaporkan semakin meningkat.

Banjir di beberapa bahagian di Klang menyebabkan banyak kenderaan terkandas dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (Gambar Bomba dan media sosial)
PETALING JAYA:
Hujan lebat berterusan semalam beberapa jam mengakibatkan beberapa lokasi di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang mula dinaiki air.

Di Selangor, Klang antara kawasan banjir yang terjejas teruk di Selangor, pasukan bomba setakat ini telah menyelamatkan tiga sekeluarga daripada banjir di Taman Dato’ Hormat di Telok Panglima Garang.

Dalam satu kenyataan, bomba melaporkan ketika kejadian ketinggian air sedalam satu meter dan ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada dua orang wanita dan seorang lelaki telah dibawa ke tempat selamat.

Di tempat lain di negeri ini, The Star melaporkan bahawa 50 kediaman di sepanjang Jalan Seroja di Klang ditenggelami air manakala ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata seluruh kawasannya mengalami banjir.

“Hujan sangat lebat dan kami menerima hujan 220mm hari ini sahaja,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu Bernama melaporkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang terus meningkat dengan 1,019 mangsa daripada 230 keluarga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sekitar negeri berkenaan setakat pukul 8 malam ini berbanding 635 mangsa daripada 131 keluarga, petang tadi.

Di Pahang, Maran dan Raub turut dinaiki air susulan hujan yang tidak henti-henti menyebabkan seramai 218 mangsa daripada 60 keluarga dipindahkan ke 11 PPS.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan lima PPS beroperasi di Maran iaitu di Balai Penerangan Umno Pekan Sungai Jerik yang menempatkan 65 mangsa daripada 16 keluarga, Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Jengka 14 (13 mangsa, tiga keluarga), Dewan Serbaguna Sungai Jerik (13 mangsa, empat keluarga), Dewan JKKR Jengka 11 (sembilan mangsa, tiga keluarga) dan Dewan Umno Ulu Jempol (lapan orang, satu keluarga).

Majoriti mereka adalah penduduk sekitar Sungai Jerik yang petempatan mereka mula dilanda banjir apabila sungai berhampiran melimpah, yang turut menyebabkan Kuil Sri Marathandavar dinaiki air.

Sementara di Raub, enam PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Pamah Rawas (45 mangsa, 15 keluarga), Balai Raya Kampung Kuala Keloi (21 mangsa, tujuh keluarga) Balai Raya Kampung Pamah Kulat (15 mangsa, tiga keluarga), Sekolah Kebangsaan Tanjung Putus (13 mangsa, tiga keluarga), Surau Kampung Peruas (12 mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Bukit Pampong (empat mangsa, satu keluarga).

Ketua Polis Daerah Raub Kama Azural Mohamed berkata mereka terdiri daripada penduduk berhampiran sungai yang rumah mereka sudah dinaiki air atau menetap di kawasan rendah yang dipindahkan sebagai langkah berwaspada jika banjir berlaku malam ini memandangkan hujan masih berterusan.

Di Kelantan, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus menunjukkan peningkatan kepada 735 mangsa daripada 156 keluarga berbanding 548 mangsa daripada 108 keluarga, pada petang tadi.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata 10 PPS dibuka melibatkan iaitu enam di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa kepada 66 orang daripada 14 keluarga setakat 8 malam ini daripada 63 orang daripada 13 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa di Dewan Sivik Air Putih, Kemaman meningkat kepada 37 mangsa daripada 30 mangsa petang tadi manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun pula jumlah mangsa kekal 29 orang.

Dalam pada itu Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan telah melebihi paras bahaya dan sedang meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.