
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar CHAI berkata, mereka ingin tahu bagaimana rancangan kerajaan untuk melaksanakan kenaikan gaji itu dan sama ada ia hanya ditawarkan kepada beberapa orang terpilih atau kepada semua pakar.
Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kementerian akan menawarkan gaji sehingga RM37,000 sebulan kepada pakar perubatan berpangkat tinggi walaupun beliau tidak menyatakan gred gaji yang dibayar kepada pakar terbabit ketika ini.
Beliau turut berkata, pakar perubatan dalam jawatan Gred UD53, UD54, UD55 dan UD56 juga boleh memperoleh gaji dan elaun sehingga RM21,000 sebulan.
Ketika ini, pakar perubatan Gred UD53 dan UD54 boleh memperolehi gaji sehingga RM13,256 manakala mereka dalam jawatan Gred UD55 dan UD56 pula boleh menerima gaji sehingga RM14,063.
“Lebih banyak penjelasan perlu dilakukan kerana RM37,000 ialah pendapatan yang mungkin diperolehi oleh mereka yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A sebagai gaji bulanan. Sudah tentu, ia bersama elaun,” kata Koh kepada FMT.
“Kami ingin tahu bagaimana rancangan kementerian untuk melaksanakan kenaikan imbuhan yang drastik ini memandangkan lebih 22,000 pegawai perubatan kontrak masih tidak dilantik ke jawatan tetap.
“Tiada peningkatan dalam bilangan jawatan JUSA baru-baru ini. Pada masa yang sama, kriteria pemilihan untuk jawatan JUSA juga kurang jelas seperti yang disebutkan sebelum ini.”

Koh berkata, biarpun MMA menantikan penambahbaikan dalam pemberian imbuhan dan faedah kebajikan untuk pakar namun kementerian harus mempunyai rancangan yang realistik, mampan dan sama rata untuk mengekalkan pakar terbabit dalam perkhidmatan awam.
Katanya, tawaran gaji dan elaun yang tinggi adalah salah satu cara untuk menarik dan mengekalkan pakar perubatan, lebih-lebih lagi semakan gaji terakhir dibuat lebih tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun beliau menyatakan bahawa penjagaan pakar secara percuma kepada semua ibu bapa dan anak doktor, pinjaman perumahan atau kenderaan tanpa faedah dan biasiswa untuk anak mereka adalah antara faedah yang boleh diteliti kerajaan.
Beliau turut menekankan perbezaan gaji antara kerajaan dan sektor swasta dengan menyatakan bahawa sektor swasta membayar kira-kira tiga hingga empat kali lebih tinggi, “jika tidak lebih”.
“Jika faedah tidak cukup menarik dalam perkhidmatan kerajaan, petugas kesihatan akan mengambil peluang yang ada untuk mendapatkan gaji dan prospek kerjaya lebih baik dalam sektor swasta.”
Pada September lalu, Menteri Kesihatan berkata, Malaysia memerlukan 28,000 pakar perubatan menjelang 2030 selain menjelaskan bahawa kekurangan doktor pakar menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan susulan.
FMT cuba berhubung dengan pembantu Noor Azmi untuk mendapatkan penjelasan mengenai tangga gaji pakar perubatan.