
Kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Jalan Teja 5, Rancangan Perumahan Awam (RPA), di sini.
Ketua Polis Daerah Arau Ahmad Mohsin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.45 pagi, sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek masih berada di kawasan rumah dan tiada pergelutan berlaku di antara pihak polis dan suspek, manakala keris tersebut dijumpai di luar rumah.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah menikam mangsa menggunakan keris sepanjang 30 sentimeter di luar rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata, suspek, 31, yang juga anak keempat daripada lima beradik, telah menikam ibunya dengan sekali tikaman dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.
Ahmad berkata, pihak HTF telah memaklumkan bahawa keadaan mangsa stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Suspek yang kini dalam tahanan akan direman esok pagi bagi siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.