
Tertuduh, A Devadas, 41, yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan P Xavier, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret V Vanita.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh bagi kesalahan melarikan dan membunuh selepas pertuduhan dibacakan.
Bagi pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama dua orang yang telah didakwa dan seorang yang masih bebas didakwa membunuh A Vasudevan, 39.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Springhill 3/3, Bandar Springhill, Lukut di sini antara jam 5.40 hingga 9.45 pagi, 13 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Bagi pertuduhan melarikan mangsa, mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati perlu disebat.
Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh turut didakwa menyamar sebagai anggota polis kepada isteri mangsa, S Hindumathy, 38, sedangkan mereka bukanlah penjawat awam yang sah.
Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama dan mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang boleh dihukum penjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Sukhdev Singh.
Mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, M Murugan, 44, yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan dan Wong Yon Kuan, 43, penganggur didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh, menculik Vasudevan serta menyamar sebagai anggota polis di Bandar Springhill, Lukut.