Radar gagal kesan kemasukan bot PATI kerana cuaca buruk

Radar gagal kesan kemasukan bot PATI kerana cuaca buruk

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor berkata, keadaan cuaca amat buruk sejak dua hari lalu dan laut bergelora turut mengganggu transmisi radar SWASLA.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Simon Templer Lo Ak Tusa (tengah) melihat keadaan bot karam yang dinaiki 50 PATI di persisiran Pantai Tanjung Balau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) gagal mengesan kemasukan bot pancung dinaiki 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negara semalam akibat cuaca buruk.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, keadaan cuaca amat buruk sejak dua hari lalu dan laut bergelora mengganggu transmisi radar SWASLA.

“Radar SWASLA dapat kesan sebuah bot curiga sebelum kami menghubungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira 2 pagi semalam.

“Namun, selepas itu ia hilang dari radar sebelum dikesan karam dibadai ombak kira-kira 20m dari Pantai Tanjung Balau, di sini, kira-kira 4.30 pagi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ditanya sama ada insiden itu akan menyebabkan integriti Ops Benteng di perairan Johor Timur terjejas, Simon menafikannya dengan berkata, ia akan diperhebatkan bagi memastikan perairan Johor Timur tidak terus dibolosi.

“Namun, berikutan faktor ekonomi serta kedudukan kawasan perairan Johor Timur yang sangat hampir dengan Kepulauan Batam, Indonesia, kita jangka kejadian seperti ini akan berlaku lagi pada masa depan.

“Bagaimanapun, kerjasama erat antara APMM, ATM dan polis yang mengawasi sektor masing-masing di perairan Johor Timur diharap akan mengurangkan pembolosan, apatah lagi Ops Benteng sedang berkuat kuasa bagi mengawasi darat, laut dan udara Malaysia daripada dicerobohi.”

Beliau berkata, sistem radar SWASLA dalam proses dinaik taraf bagi memantapkan lagi pemantauan APMM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.