Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

Mangsa berada di kawasan itu bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah.

Polis berkata, usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh. (Gambar PDRM)
KUALA TERENGGANU:
Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Afandi Hussin berkata, dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

“Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

“Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemui pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afandi berkata, usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.