Lelaki ditembak mati ada senapang patah, 14 rekod jenayah

Lelaki ditembak mati ada senapang patah, 14 rekod jenayah

Ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu, pemandunya didapati sedang mengeluarkan selaras senjata api.

Kenderaan suspek berjaya dihentikan selepas polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta Proton Saga itu. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Jalan Simpang Tiga semalam, mengeluarkan senjata api semasa anggota polis menghampiri kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail.

Beliau berkata, ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu, pemandu yang merupakan lelaki berumur 24 tahun didapati sedang mengeluarkan selaras senjata api.

“Demi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah pemandu berkenaan, dan pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, terdahulu lima anggota polis terserempak kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Wan Alwi dan suspek diarahkan untuk berhenti bagi pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut kenderaannya, dan cuba melarikan diri.

Aidi berkata, kenderaan berkenaan hanya berjaya dihentikan selepas anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta jenis Proton Saga warna kelabu itu.

“Ketika di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga, pemandu itu melanggar lima kenderaan berhampiran menyebabkan anggota polis bertindak menembak tayar kenderaannya,” katanya.

Aidi berkata, pemandu berkenaan didapati mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan seperti mencuri kenderaan, penipuan serta penyalahgunaan dadah, dan polis merampas selaras senapang patah serta beberapa butir peluru dalam kenderaan berkenaan.

Siasatan menyeluruh dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.