
Bagaimanapun, bot yang difahamkan berlepas dari Batam, Indonesia kira-kira 11 malam itu dipercayai “bertukar haluan” menuju ke Pantai Tanjung Balau yang terletak 2km hingga 3km dari lokasi asal.
Mendedahkan perkara itu, Pegawai Memerintah Rejimen Ketujuh Artileri Diraja, Mohamed Ridzal Radzuan berkata, bot berkenaan yang dipercayai dikendalikan satu sindiket bertindak menukar lokasi pendaratan apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, pasukannya mengesan sebuah bot yang kelihatan mencurigakan berdekatan Kampung Tengah dan menjejaki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) sedang bersembunyi dalam semak di kampung itu.
“Siasatan awal mendapati mereka (sindiket) mahu menurunkan penumpang di Pantai Tanjung Balau, tetapi ombak terlalu besar menyebabkan bot terbalik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, di sini semalam.
Pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja yang kini menjaga pesisiran pantai barat Johor sepanjang 210km itu adalah pasukan terawal mengesan kehadiran bot berkenaan.
“Sepanjang saya dan pasukan menjalankan operasi di sini, keadaan cuaca tak berapa baik dan ombak besar berikutan monsun Timur Laut.
“Bila keadaan laut begini dan mereka (sindiket) tahu pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan di pesisir pantai…kebanyakan tekong ini akan lepaskan penumpang di tengah laut untuk menyelamatkan diri mereka (sindiket),” katanya.
Beliau berkata, bot karam itu merupakan bot berkuasa tinggi dan mempunyai empat enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu.
“Bot besar memang jadi pilihan sindiket, terutama melalui kawasan berombak besar seperti ini.”
Katanya, hasil siasatan awal ke atas PATI yang ditahan mendapati kebanyakan mereka bukan kali pertama datang ke Malaysia, sebaliknya acap kali berulang-alik bagi mencari rezeki.
Ridzal berkata, sindiket itu turut disifatkan “berhati kering” kerana menurunkan penumpang di tengah laut dengan PATI itu rata-ratanya tidak mengetahui nasib mereka sebelum masuk ke dalam negara dan risiko yang perlu dihadapi apabila mengikuti laluan tidak sah dan berbahaya.
Beliau berkata, cabaran bagi ATM adalah memastikan keselamatan kawasan tanggungjawab (KTJ) kekal terpelihara, meskipun mempunyai kekangan dengan hanya 25 pos pemerhati di KTJ sepanjang 210km, selain kekurangan anggota dan pegawai.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya juga sering menukar modus operandi dan taktik bagi mengatasi cabaran dalam usaha memastikan keselamatan perairan negara terjaga.
Selain itu, kerjasama antara agensi penguat kuasa lain menerusi Ops Benteng seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan juga diteruskan dan sentiasa diperhebatkan.
Sejak 19 Nov hingga semalam, pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja menerusi Ops Benteng telah menahan 144 orang dan menemui 15 mayat PATI.
Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, sebuah bot membawa 50 warga Indonesia karam dengan 19 terkorban, 14 terselamat dan 17 masih hilang.
Selain itu, lapan PATI turut ditahan, dipercayai mahu menggunakan bot sama untuk pulang ke negara mereka.
Buat masa ini, 14 yang terselamat dan lapan yang ditahan itu ditempatkan di Pos Tanjung Sepang untuk ujian calitan Covid-19 dan siasatan lanjut.