Bot PATI karam: 3 lagi mayat ditemui, 17 masih hilang

Bot PATI karam: 3 lagi mayat ditemui, 17 masih hilang

Pihak berkuasa berkata 19 mayat ditemui setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

Terdahulu, lima mayat ditemui antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Tiga lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, ditemui pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin itu ditemui pada 10 pagi manakala satu lagi mayat lelaki pada 10.54 pagi.

“Dua mayat dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira 2km dari lokasi kejadian manakala satu lagi mayat ditemui terdampar lebih kurang 800m dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, lima mayat ditemui antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Dengan penemuan ini, 19 mayat telah ditemui setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

Sementara itu, Simon berkata, hasil saringan ke atas 14 pendatang tanpa izin yang terselamat mendapati semuanya negatif Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati susulan penemuan tiga mayat antara 10 pagi dan 10.54 pagi itu, pasukan bertugas mengambil masa kira-kira sejam bagi menguruskan kelapan-lapan mayat yang dijumpai hari ini untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

Selain itu, lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan tugasan dan rondaan mencari saki-baki mangsa.

Lebih 10 petugas media berkumpul di lokasi kejadian sejak dari awal pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.