Bicara kes Ahli Parlimen Labuan guna kedudukan dapat kontrak 9 Mei tahun depan

Bicara kes Ahli Parlimen Labuan guna kedudukan dapat kontrak 9 Mei tahun depan

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 42 saksi dengan majoritinya dari Labuan.

Rozman Isli berdepan tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan untuk Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang menyaksikan bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli, yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, akan bermula 9 Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Rozina Ayob menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan dan 8 Feb sebagai pengurusan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 42 saksi dengan majoritinya dari Labuan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima senarai nama saksi pendakwaan.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan untuk Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang menyaksikan bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang 21 Mac 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.