5 pelajar buli junior di Muar direman 3 hari

5 pelajar buli junior di Muar direman 3 hari

Kelima-lima suspek berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Perintah reman selama tiga hari terhadap kelima-lima suspek dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Lima suspek yang juga pelajar sebuah sekolah di Muar yang ditahan kerana membuli seorang pelajar junior hingga cedera di rusuk kiri direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Berita Harian melaporkan, perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 18 Dis terhadap kelima-lima suspek yang berusia 16 tahun itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.

Kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mereka tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Muar di sini jam 8.30 pagi dengan menaiki lori polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Zaharudin Rasip, berkata kesemua suspek ditahan polis selepas dipercayai membuli seorang pelajar lain sehingga cedera di rusuk kiri, Khamis lalu.

“Mereka ditahan semalam di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan daerah Johor Bahru.

“Penahanan berkenaan dilakukan susulan laporan berkaitan kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli oleh senior pada 9 Dis lalu sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang kelmarin (Selasa) memaklumkan mangsa dibuli pelajar lebih senior sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zaharudin berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakannya, menyebabkan mereka dibuli.

Katanya, polis memandangkan serius terhadap kes jenayah membabitkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.