463 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air

463 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau diesel, menurut Air Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual kerana Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau diesel.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, ia membabitkan 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Katanya, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna terjejas dengan 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan dan aduan boleh disalurkan ke “Help Centre” di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.