Sivarasa bidas Speaker tolak usul bincang dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM; Azalina simpati

Sivarasa bidas Speaker tolak usul bincang dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM; Azalina simpati

Ahli Parlimen Sungai Buloh menyifatkan tindakan Azhar Azizan Harun sebagai pengabaian tanggungjawab.

R Sivarasa berkata usul untuk membincangkan dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM ditolak meskipun ia mematuhi peraturan mesyuarat.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang mengkritik tindakan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, menolak usul untuk membincangkan dakwaan terhadap seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dikatakan memiliki 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.

Wakil rakyat Sungai Buloh, R Sivarasa daripada PKR, pada sidang Dewan Rakyat petang tadi menyifatkan tindakan Azhar itu sebagai pengabaian tanggungjawab kerana menurutnya usul itu mematuhi syarat Peraturan Mesyuarat (18)1.

“Saya minta perkara ini dikaji semula. Penolakan ini tidak betul dan tidak patut,” katanya, selepas membaca surat penolakan usul daripada Azhar.

Menurut apa yang dibacakan Sivarasa, usul itu ditolak kerana Dewan Rakyat perlu membuat satu ketetapan terlebih dahulu.

Timbalan Speaker, Azalina Othman Said, yang mempengerusikan sesi petang tadi bersimpati dengan Sivarasa kerana usulnya ditolak.

Beliau mencadangkan Sivarasa mengemukakan rayuan terhadap keputusan Azhar itu.

“Usul saya pun banyak kali tolak Yang Berhormat,” katanya kepada Sivarasa, dan menambah beliau tidak boleh buat sebarang keputusan yang mengatasi Speaker.

Beliau turut mencadangkan kepada pembangkang untuk memuatkan pindaan pada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dalam memorandum persefahaman dengan kerajaan.

“Itu pandangan saya secara peribadi,” katanya.

Terdahulu, Sivarasa mendakwa seorang pegawai tinggi SPRM memiliki 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.

Beliau dimaklumkan bahawa pegawai itu menjadi pemilik 930,000 saham sebuah syarikat tersenarai pada 2015 dan memiliki 1,029,000 saham lagi pada tahun berikutnya.

Sivarasa berkata, pegawai tinggi itu turut menjadi pemilik 2,156,000 waran dalam sebuah lagi syarikat tersenarai awam pada 21 Mac 2016. Beliau menjadi pemilik saham dan waran itu semasa menjadi pengarah SPRM, menurut Sivarasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.