
SPRM menerusi kenyataan, berkata pihaknya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan kes membabitkan pegawainya itu.
“SPRM mengesahkan telah membantu siasatan pihak polis dan menyerahkan dua lagi pegawai SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
“SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan,” katanya dalam kenyataan.
Isnin lalu, dua individu termasuk seorang pegawai SPRM direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan kerugian RM700,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan Ahad oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi.
Beliau berkata, setakat ini seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.