PERKESO gantung bayaran tuntutan subsidi upah 8,133 majikan langgar syarat

PERKESO gantung bayaran tuntutan subsidi upah 8,133 majikan langgar syarat

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata sebanyak 4,423 aduan diterima daripada pekerja terhadap majikan yang menyalahgunakan bantuan itu setakat 7 Nov.

PERKESO bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menyiasat aduan diterima daripada pekerja terhadap majikan yang menyalahgunakan bantuan.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggantung pembayaran tuntutan faedah program subsidi upah (PSU) kepada 8,133 majikan yang didapati melanggar terma dan syarat iaitu menghentikan pekerja selepas menerima bantuan itu, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Saravanan berkata proses kelulusan PSU melibatkan semakan pada syarat permohonan serta maklumat majikan melalui pendaftaran dan caruman majikan.

“Antara syarat di bawah PSU adalah majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini disyaratkan untuk mengekalkan semua pekerja mereka. Setiap permohonan yang diluluskan akan dirujuk silang dengan maklumat pada permohonan tuntutan faedah kehilangan pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan,” katanya dalam jawapan dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Fahmi meminta kerajaan menyatakan bilangan aduan diterima terhadap masalah penipuan oleh majikan yang mendapat manfaat daripada PSU tetapi tidak membayar pekerja dengan betul sehingga Oktober serta tindakan untuk menanganinya.

Saravanan berkata, sebanyak 4,423 aduan diterima daripada pekerja terhadap majikan yang menyalahgunakan bantuan berkenaan setakat 7 Nov.

Katanya, bayaran kepada majikan yang terlibat akan digantung sementara menunggu siasatan terhadap aduan berkenaan selesai.

“Daripada jumlah aduan yang diterima, 3,661 kes aduan merupakan aduan tidak berasas manakala bakinya, sejumlah 762 kes aduan terdiri daripada majikan yang telah diambil tindakan antaranya termasuklah notis tuntutan bayaran balik,” katanya.

Saravanan berkata, PERKESO bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aduan diterima dan beberapa kes masih dalam tindakan siasatan.

“PERKESO akan meneruskan lagi perkongsian maklumat lengkap agar siasatan dapat dimulakan ke atas majikan yang gagal untuk mematuhi bayaran di bawah PSU.

“PERKESO berhak untuk memberhentikan dan menggantung bayaran serta menuntut semula bayaran yang diterima dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan yang gagal memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.