Parlimen perlu adakan sidang khas bincang pindaan Akta 342, kata MMA

Parlimen perlu adakan sidang khas bincang pindaan Akta 342, kata MMA

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai, berkata ia perlu dilaksanakan bagi memastikan perbincangan lebih terperinci dilakukan membabitkan perubahan dalam pindaan itu.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu pindaan menekankan kepada etika berbanding mengenakan penalti lebih berat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan diadakan satu sidang khas Parlimen berhubung pembentangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata ia perlu dilaksanakan bagi memastikan perbincangan lebih terperinci dilakukan membabitkan perubahan dalam pindaan itu.

Katanya, mengakui pindaan berkenaan perlu dilaksanakan, bagaimanapun ia tidak sepatutnya dilakukan terburu-buru kerana ia hanya akan menggambarkan kurangnya sesi libat urus dengan pemegang taruh berkepentingan.

“Walaupun ada keperluan segera dalam meluluskan pindaan itu, kejelasan termasuk garis panduan terperinci berhubung pelaksanaan perlu diutamakan terlebih dulu.

“Wujud kebimbangan dalam kalangan pemegang taruh berhubung pelaksanaan dan penguatkuasaan, mengambil kira persoalan munasabah ditimbulkan pakar termasuk orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Ahli Parlimen yang mewakili rakyat tidak sepatutnya menekan sebarang bentuk garis masa bagi meluluskan pindaan berkenaan tanpa mengemukakan perincian perkara penting.

Koh berkata, sidang khas Parlimen perlu diadakan susulan pindaan Akta 342 akan memberi kesan terhadap semua lapisan masyarakat, termasuk ekonomi negara dan perkhidmatan kesihatan.

“Akta berkenaan bertujuan menyokong pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, justeru, etika perlulah ditekankan. Sebaliknya, apa yang kita lihat lebih kepada penekanan mengenakan penalti,” katanya.

Antara kandungan pindaan yang dijangka dilaksanakan membabitkan hukuman penalti lebih berat terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19; kadar kompaun lebih spesifik terhadap individu dan badan korporat; memberi kuasa kepada badan berkuasa selain daripada Kementerian Kesihatan; penggunaan peralatan penjejak; dan mengasingkan kes positif di tempat berasingan selain pusat kuarantin.

Koh berkata, memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa daripada agensi berlainan akan mengurangkan beban terhadap pegawai Kementerian Kesihatan, namun ia juga akan menimbulkan kekeliruan terhadap orang awam, selain mampu menyumbang kepada penguatkuasaan tidak wajar.

“Bagi individu dan pemilik perniagaan kecil, pendidikan lanjut dan kempen kesedaran perlu dijalankan berhubung kepentingan mematuhi SOP. Bagaimanapun, lebih utama adalah memastikan tiada tindakan berpihak dilakukan dalam penguatkuasaan dalam akta berkenaan atau berdepan kegagalan pelaksanaannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.