KKM digesa pertimbang semula cadangan kompaun RM1 juta langgar SOP Covid-19

KKM digesa pertimbang semula cadangan kompaun RM1 juta langgar SOP Covid-19

Lebih banyak tekanan yang diberikan kepada perniagaan mungkin menjejaskan pelaburan, kata kumpulan perniagaan.

Penalti maksimum semasa yang boleh dikenakan ke atas perniagaan yang tidak mematuhi SOP ialah RM50,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan merayu Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan semula cadangan kompaun maksimum RM1 juta bagi perniagaan atau agensi yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Jumlah maksimum yang boleh dikenakan buat masa ini adalah RM50,000, dan kenaikan besar itu antara pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis.

“Ketika perniagaan, terutamanya PKS, cuba pulih daripada sekatan berterusan, cadangan penalti maksimum itu keterlaluan,” kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), William Ng.

“Denda sehingga RM50,000 pun sudah keterlaluan, jadi menaikkannya sehingga RM1 juta melampaui tindakan punitif.”

William Ng.

Ng berkata, perniagaan sedar akan keperluan untuk pematuhan dan pada umumnya mematuhinya. Menurut tinjauan SAMENTA pada September, katanya, PKS membelanjakan purata RM90 sebulan untuk pematuhan SOP bagi setiap pekerja.

“Bagaimanapun, kesilapan berlaku, dan kadangkala ini di luar kawalan pemilik perniagaan,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Sri Ganesh Michiel, berkata lebih banyak tekanan yang diberikan kepada perniagaan mungkin menjejaskan pelaburan.

Menggesa kajian menyeluruh mengenai kesan pindaan itu ke atas perniagaan, syarikat dan kilang, Ganesh berkata agensi penguatkuasaan yang bertindak terhadap pelanggaran SOP perlu bertanggungjawab sekiranya mereka didapati mengambil tindakan salah.

Yang penting, katanya, pindaan itu perlu termasuk agensi pengantaraan atau jabatan bebas untuk mengesahkan laporan pelanggaran SOP sebelum kompaun dikenakan.

“Setiap pihak perlu bertanggungjawab memastikan pindaan baharu ini berhasil dan tidak disalahgunakan,” katanya.

Sri Ganesh Michiel.

Seorang pakar dasar kesihatan berkata, cadangan seperti denda RM1 juta untuk ketidakpatuhan SOP mestilah berasaskan bukti.

“Adakah terdapat sebarang bukti atau kajian untuk menyokong (pandangan) mengenakan hukuman dan denda luar biasa sebenarnya akan meningkatkan tahap pematuhan SOP, yang membawa kepada penurunan kes (Covid-19)?” soal Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.

“Undang-undang lebih tegas belum terbukti memberi hasil lebih baik dalam darurat kesihatan awam. Mereka akhirnya membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan,” katanya.

Azrul Mohd Khalib.

Beliau juga bertanya sama ada pihak berkepentingan utama yang mungkin terjejas dengan perubahan dasar ketara itu telah dirujuk sebelum pengumuman cadangan itu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Ahad lalu.

Menerusi program Bicara Naratif Khas, “Menilai Ketegasan KKM” di TV1, Khairy berkata, pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit juga akan melibatkan isu seperti pemasangan alat pengawasan.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, pindaan itu juga membolehkan penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa tempatan dan bukannya pegawai KKM sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.